27.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 3, 2021

Jangan kaitkan SPRM sebagai senjata politik

Mesti Baca

CYBERJAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) tidak seharusnya menimbulkan isu kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat untuk menekan ahli politik yang tidak menyokong kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, SPRM berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Beliau berkata, ia adalah proses biasa dalam perundangan negara dan seseorang yang disiasat itu masih tidak terbukti bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Kenyataan oleh MPPH ini dilihat lebih kepada agenda politik dan tentunya ada tatacara tertentu digunakan oleh SPRM untuk melakukan siasatan malah kes siasatan membabitkan ahli politik bukannya perkara baharu di negara ini.

“Sebagai contoh, kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pemimpin politik lain termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Adalah satu perkara yang tidak baik dengan mengaitkan kerajaan menggunakan agensi tertentu untuk mendakwa ahli politik terbabit sekali gus memberikan persepsi negatif kepada agensi yang dimaksudkan sedangkan siasatan dibuat berdasarkan kepada bukti yang ada,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan oleh MPPH di sini, hari ini.

Baca juga:   Portal bahasa Mandarin wujud sejak 2015 - SPRM

MPPH dalam kenyataannya semalam kesal apabila agensi-agensi kerajaan seperti SPRM didakwa terus diperalat sebagai senjata politik untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen yang menjadi musuh atau enggan menyokong PN.

Baca juga:   Kalimah Allah: Muafakat Nasional gesa kerajaan kemuka rayuan

Mohd Azmir berkata, MPPH seharusnya memberikan penekanan atau tumpuan kepada usaha-usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 berbanding kepada isu politik semata-mata.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan undang-undang dana politik bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan projek kerajaan atau pertubuhan politik di negara ini.

“Ini kerana, isu mengenai agensi kerajaan digunakan untuk menekan ahli politik yang tidak menyokong kerajaan akan terus berulang setiap kali ada ahli politik yang disiasat seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Cadangan mengenai dana politik ini sudah lama dibincangkan dan sepatutnya dilaksanakan kerana ia mampu membuktikan penerimaan dana dengan lebih telus.

“Dana politik ini memang banyak cuma wujud ketakutan dalam kalangan ahli politik kerana mereka mungkin tidak boleh mengambil kesempatan daripada dana yang diperolehi selain tiadanya kesungguhan atau political will oleh kalangan ahli politik terbabit,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Trend kahwin lewat, kes cerai menurun antara perkongsian DOSM

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) berkongsikan maklumat penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal...

Lagi Artikel Berkaitan