26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Layak tuntut pampasan jika kesan sampingan vaksin serius

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KUALA LUMPUR – Penerima vaksin layak menuntut pampasan daripada kerajaan sekiranya berlaku kesan sampingan yang serius setelah menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, bantuan kewangan khas itu diwujudkan bagi meyakinkan orang ramai terhadap keberkesanan dan keselamatan vaksin.

Menurut beliau, nilai pampasan adalah RM50,000 jika berlaku kesan sampingan yang serius kepada penerima vaksin COVID-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19.

“Untuk itu, kerajaan telah meluluskan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas tersebut.

“Bantuan khas ini akan diberikan kepada penerima vaksin terkesan setelah dinilai dan ditentukan kesahihan kes oleh Kementerian Kesihatan yang boleh menunjukkan causality antara vaksin dengan kesan sampingan,” katanya ketika memberi penerangan tentang PICK dalam sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memberitahu, jumlah pendaftaran vaksinasi ketika ini adalah rendah berbanding sasaran PICK iaitu sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan populasi yang perlu divaksin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, setakat 26 Julai lalu, seramai 20,134,971 orang telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin bersamaan 61.7 peratus keseluruhan populasi Malaysia berjumlah 32.7 juta orang.

“Daripada jumlah ini, 18.8 juta orang merupakan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan 1.2 juta orang merupakan individu di bawah umur 18 tahun.

“Jumlah populasi dewasa yang telah mendaftar adalah bersamaan 80.5 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia.

“Manakala bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang berjumlah keseluruhan 3.5 juta orang, sebanyak 89 peratus telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 mereka,” katanya.

Malah, Khairy berkata, jika dilihat statistik pendaftaran vaksinasi beberapa buah negeri, peratusan pendaftaran adalah rendah berbanding nilai ambang yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk sesebuah negeri beralih daripada satu fasa kepada fasa yang lain.

“Walau bagaimanapun, saya menyedari terdapat beberapa negeri yang mungkin menghadapi kekangan pendaftaran disebabkan keadaan geografi dan demografi yang berbeza-beza yang menghadapi kesukaran perhubungan dan akses komunikasi,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan