31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Empat lagi kes positif Covid-19 di Parlimen – Speaker

Mesti Baca

CYBERJAYA – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini memaklumkan empat lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan bangunan Parlimen.

Beliau membuat penjelasan itu ketika mengulas desakan wakil pembangkang supaya waktu sidang Parlimen dilanjutkan selepas 5.30 petang seperti ditetapkan ketika ini bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat berucap.

“Kita (sidang Dewan Rakyat) sebenarnya telah tidak menuruti nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), kalau ikut nasihat Ketua Pengarah Kesihatan kita bersurai pukul 2 petang sebab beliau bimbang penularan Covid-19 di kawasan Parlimen.

“Semalam dan hari ini ada lagi empat kes. Risiko agak tinggi sebab itu saya tetapkan 5.30 petang untuk beri peluang kepada semua bahas,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Azhar bagaimanapun turut memaklumkan tindakan melanjutkan sidang melebihi 5.30 petang berada bawah kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Azhar menjawab Shamsul Iskandar Md Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang mencadangkan Parlimen bersidang melebihi pukul 5.30 petang.

Isnin lalu, Azhar mengesahkan dua Ahli Parlimen positif Covid-19 sekali gus tidak dapat menyertai Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang berlangsung.

Susulan itu, enam lagi Ahli Parlimen yang terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada dua Ahli Parlimen terbabit.

“Hasil ujian saringan Covid-19 diadakan Jumaat lalu juga mendapati seramai 13 orang kakitangan Parlimen didapati positif, berikutan itu seramai 58 kakitangan Parlimen turut menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada mereka yang positif,” kata Azhar.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan