Sunday, July 19, 2026

Nasib Hishammuddin, Khairy diketahui 17 April ini – Khaled

Permohonan bekas pemimpin UMNO yang digantung atau dipecat sebelum ini, akan dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk diputuskan.

Mesti Baca

NASIB bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sama ada diterima semula sebagai ahli parti itu atau tidak akan diketahui pada 17 April ini.

Ini kerana pada tarikh tersebut, permohonan kedua-dua bekas pemimpin UMNO bersama beberapa lagi ahli yang digantung atau dipecat sebelum ini, akan dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk diputuskan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Hishammuddin dan Khairy antara bekas pemimpin parti yang membuat permohonan menyertai semula UMNO di bawah agenda Rumah Bangsa.

“Ya, kita memang sudah terima beberapa permohonan dan kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 17 April depan.

“Saya tak boleh kata (akan putuskan), tetapi saya akan bawa atas semangat Rumah Bangsa dan saya lihat ia sebagai satu yang positif dan tentunya akan ada keputusan yang baik ke arah menjayakan Rumah Bangsa.

“Kita masih lagi sedang mengumpul (permohonan), jadi saya tidak dapat beri (jumlah permohonan yang sebenar). Tetapi, nama-nama besar seperti yang disebut (Hishammuddin dan Khairy) itu betul, memang dah mohon,” katanya di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Mohamed Khaled yang Menteri Pertahanan sebelum itu merasmikan Projek JanaVeteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa itu berkata, tiada tempoh masa diputuskan untuk mana-mana bekas pemimpin atau ahli parti untuk menghantar permohonan berkenaan.

Sebelum ini, Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahliannya selama enam tahun.

Manakala Khairy pula bersama beberapa pemimpin lain termasuk Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Annuar Musa telah dipecat daripada keahlia parti.

Noh yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian telah menyertai Bersatu sebelum meninggalkan parti itu sejak krisis dalaman parti manakala Annuar pula menyertai Pas.

Sementara Khairy pula tidak menyertai mana-mana parti sejak digantunh keahlian pada Januari 2023.

Hishammuddin, Khairy dan Maulizan sebelum ini antara yang telah disahkan menyerahkan borang permohonan menyertai semula UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mempelawa semua bekas ahli UMNO yang dipecat atau digantung untuk kembali ke pangkuan parti itu tanpa syarat di bawah agenda Rumah Bangsa. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan