MALAYSIA tidak yakin gencatan senjata tanpa jaminan kukuh akan menyelesaikan konflik Asia Barat secara tuntas sebaliknya bimbang ia hanya akan mengulangi kitaran keganasan sepertimana berlaku di Gaza dan Lubnan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha damai di antara negara terlibat mesti dilaksanakan dengan berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.
“Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.
“Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi mendapatkan perkembangan terkini terkait konflik Asia Barat yang kian meruncing.
Anwar berkata, Malaysia merakamkan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara.
Ini termasuk tokoh-tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung AS ke atas Iran.
“Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini,” katanya.
Tegas Anwar, Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan.
Dalam kesempatan itu, Anwar berkata, beliau turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia, dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini.
“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya. — Edisi 9

