34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Citra kanak-kanak ‘Mandusia Patanjak’ di Tongtalun

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

SEMPORNA – Bila disebut Tongtalun, ramai yang tercari-cari di mana lokasi daerah berkenaan.

Malah dalam peta Portugis lakaran Emanuel Godinho de Eredia pada 1604 langsung tidak menyebut Tongtalun.

Tongtalun sebenarnya adalah nama lama bagi Semporna, bahasa Bajau dialek Semporna yang bermaksud ‘hujung hutan’.

Penulis tidak berhasrat menceritakan sejarah Semporna, begitu juga destinasi pelancongan dikenali seantero dunia seperti Pulau Sipadan, Ligitan dan Mabul.

Sebaliknya, penulis menonjolkan kisah anak ‘Mandusia Patanjak’ di Tongtalun yang memilih ‘bersekolah’ dalam perahu ketika rakan sebaya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Anak ‘Mandusia Patanjak’ yang penulis maksudkan bukan Bajau Laut (Sea Gypsy) atau Pala’u yang ramai sedia maklum hidup nomad dalam perahu di perairan Semporna.

Tongtalun
Kanak-kanak perempuan ‘Mandusia Patanjak’ Tongtalun mahir mengendalikan perahu sejak berusia 7 tahun. Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Sebaliknya, mereka ini adalah kanak-kanak didakwa penduduk Pulau Bum-Bum, Semporna sebagai anak pendatang tanpa izin yang didakwa membina penempatan tanpa kebenaran di atas air Kampung Samal-Samal, Pulau Bum-Bum, Semporna.

Sebab itulah masyarakat Kampung Samal-Samal menggelarkan mereka ‘Mandusia Patanjak’. Mandusia Bahasa Bajau dialek Semporna yang bermaksud ‘Orang’, manakala ‘Patanjak’ pula tiba-tiba muncul.

Ini kerana mereka tiba-tiba muncul dan membuat rumah tanpa izin di kawasan teluk Kampung Samal-Samal.

Tongtalun
Dua kanak-kanak perempuan ‘Mandusia Patanjak’ Tongtalun membawa balik air yang dibeli di pekan Semporna. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Seawal usia 7 tahun kanak-kanak berkenaan tanpa mengira lelaki atau perempuan sudah diajar berdikari oleh ibu bapa mereka dengan mengendalikan perahu sendiri menggunakan pendayung termasuk untuk mencari bekalan air bersih dan menjual hasil tangkapan ikan, ketam dan kerang.

Mengemudi perahu menggunakan pendayung untuk ke Kampung Balimbang juga di Pulau Bum-Bum dalam daerah ini pada jarak kira-kira tiga kilometer (KM) tidak sukar bagi mereka kerana sudah biasa.

Mereka ke Kampung Balimbang untuk membeli air bersih daripada penduduk di sana pada harga sekitar RM3 setiap satu gelen yang memuatkan 20 liter air untuk keperluan keluarga.

Walaupun harga berkenaan amat mahal bagi keluarga miskin mereka tiada pilihan lain kerana jika menggali perigi di pulau, airnya masin dan tidak sesuai diminum serta diusir penduduk tempatan.

“Pernah juga keluarga kami menggali perigi di darat tetapi diusir oleh penduduk kampung kerana tanah berkenaan milik mereka,” kata seorang kanak-kanak berusia lingkungan tujuh tahun dikenali Kasih menggunakan jurubahasa seorang penduduk Pulau Bum-Bum, di sini.

nebah
Penulis sempat `nebah’ (mengutip kerang dan kepah) ketika air surut di Pulau Bum-Bum, Semporna. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Jurucakap yang enggan namanya disiarkan atas faktor keselamatan, mendakwa kanak-kanak itu menggunakan bahasa ‘Pelipin’ (Filipina) dialek selatan Filipina.

Mengenai sekolah, Kasih berkata, ramai kanak-kanak sebayanya mahu bersekolah tetapi ada kekangan kerana mereka kebanyakannya tiada dokumen pengenalan diri walaupun, ibu atau bapa penduduk tempatan berkahwin dengan pendatang tanpa izin.

Bagi seorang lagi kanak-kanak dikenali dikenali Cinta, 12, selain membeli air secara tunai ada juga penduduk yang membekalkan air kepada mereka yang menerima pertukaran air dengan hasil laut atau sistem pertukaran barang.

Katanya, ini memberi pilihan kepada keluarga yang tiada duit untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Hubungan baik keluarga kami dengan penduduk Kampung Balimbang dan sekitarnya memudahkan urusan pertukaran air dengan hasil laut,” katanya.

Untuk rekod, selain ‘Mandusia Patanjak’, ada penduduk tempatan yang berumah di atas air di Pulau-Bum-Bum terpaksa membeli air kepada pihak ketiga pada harga RM40 hingga RM50 untuk tangki air 1,000 liter kerana ketiadaan air bersih di kampung mereka.

Kita lupakan ‘Mandusia Patanjak’ dan beralih kepada kisah ‘The Sleeping Old Man’.

Jika novel The Old Man and the Sea karya sasterawan terkenal dunia, Ernest Hemingway mengisahkan perjuangan epik seorang nelayan tua yang berjaya mengalahkan seekor ikan mersuji gergasi yang dikatakan tangkapan terbesar dalam hidupnya, lain pula ceritanya, ‘The Sleeping Old Man’.

Mengikut mitos, pembentukan tiga pulau mirip lelaki tua sedang tidur di tengah laut perairan Semporna itu adalah tiga beranak yang sanggup ‘disumpah’ jadi pulau daripada berpisah kerana cinta sejati yang tiada galang ganti.

Pulau itu meliputi tiga pulau iaitu Pulau Gaya di utara, Pulau Bohay Dulang (tengah) dan Pulau Tatagan di selatan yang dipercayai wujud sejak lima juta tahun lalu.

The Sleeping Old Man
‘The Sleeping Old Man’ hasil pembentukan tiga pulau mirip lelaki tua sedang tidur di tengah laut perairan Semporna. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Bohay Dulang kononnya jantung pulau itu, manakala Pulau Gaya adalah kepala dan bahagian kaki ialah Tatagan.

Dari aspek penyelidikan saintifik, kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati pulau itu adalah sisa tinggalan letupan gunung berapi besar, kira-kira lima juta tahun lalu.

Ketika ini, hanya Pulau Bohay Dulang dimajukan sebagai destinasi pelancongan oleh Taman-Taman Sabah, sebuah agensi kerajaan negeri di bawah Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar lebih sedekad lalu.

Walaupun namanya tidak gah seperti Pulau Sipadan, namun ‘The Sleeping Old Man’ juga memiliki tarikan istimewa dan seharusnya dimajukan sebagai lokasi pelancongan.

Sebelum balik ke Kota Kinabalu penulis sempat menyertai kegiatan ‘nebah’ bahasa Bajau yang bermaksud mengutip kerang dan lokan ketika air surut di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna. Penulis bertuah kerana menemui spesies kerang gergasi dikenali `kahanga’ dalam dialek Bajau Semporna tetapi masih kecil.

Penulis (kanan) bersama pemilik Teksi Air beroperasi di perairan Semporna. – Gambar: MOHD AZRONE SARABATIN

Penulis juga tertarik dengan operasi teksi air di Semporna yang pastinya menjadi tarikan pelancong ke daerah ini apabila industri pelancongan kembali dibuka selepas pandemik COVID-19 berakhir atau sekurang-kurangnya kes pada tahap rendah.

Berdasarkan maklumat daripada anak-anak Bajau Laut yang menjual hasil laut di resort seperti di Pulau Mabul, mereka amat merindui kehadiran pelancong khususnya dari Korea Selatan yang gemar membeli hasil laut mereka. – EDISI 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan