SEMPORNA – Sebuah surau di Pulau Bum-Bum di sini didakwa melaungkan azan menggunakan alat pembesar suara awal 10 minit daripada waktu solat sebenar.
Seorang bekas wartawan akhbar arus perdana mendakwa, sepanjang sebulan di Kampung Samal-Samal, Pulau Bum-Bum pada Ramadan dan Syawal lalu, laungan azan jelas kedengaran di beberapa kampung di pulau itu termasuk Kampung Samal-Samal yang bersebelahan kampung terbabit.
Katanya, seorang imam kariah sebuah masjid di pulau itu yang enggan namanya disiarkan, memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar kalendar waktu solat sebenar dikeluarkan oleh Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kepada imam dan pengerusi surau berkenaan, namun mereka degil dan enggan mematuhinya.
Ditanya, sama ada surau itu dua kali melaungkan azan setiap waktu, iaitu azan pertama untuk makluman kepada penduduk waktu solat hampir masuk, disusuli azan kedua apabila waktu sebenar sudah masuk, beliau berkata, surau itu hanya sekali mengumandangkan azan setiap waktu solat.
Katanya, jika mereka mengamalkan dua kali azan perlu mendapat kebenaran daripada JHEAINS dan memaklumkan penduduk setempat mengenainya bagi mengelak kekeliruan jemaaah masjid lain.
“Kita bimbang ada musafir yang singgah di pulau ini atau mereka yang melawat sahabat handai akan keliru dan menunaikan solat sebelum masuk waktu kerana keliru dengan laungan azan dari surau itu.
“Kita juga bimbang pada bulan Ramadan, ada penduduk pulau yang berbuka puasa awal kerana terpengaruh dengan azan dari masjid berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah yang bertanggungjawab terhadap ehwal Islam, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, ketika dihubungi untuk mengulas tindakan masjid terbabit, memberi jaminan akan mendapatkan maklumat daripada JHEAINS untuk tindakan lanjut.

“Kita kerajaan yang mendengar (maklumat daripada rakyat). `Nda’ (tidak) boleh ego. Jika benar ada surau melaungkan azan lebih awal daripada waktu sebenar, tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang.
“Saya akan mendapatkan maklumat mengenainya daripada JHEAINS dan meminta pihak berkuasa agama terbabit menyiasat aduan penduduk kampung di Pulau Bum-Bum ,” katanya. – EDISI 9