28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Cabaran membina semula negara pasca Covid-19

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

IMPAK Covid-19 jauh lebih dahsyat daripada wabak dan jangkitan penyakit itu sendiri. Amaran ini diakui pakar ekonomi dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sejak tahun lalu. 

Krisis ekonomi ini dilihat jauh lebih parah daripada krisis buruk yang pernah melanda dunia pada tahun 1930 yang dipanggil  The Great Depression.

Keadaan ini akan menjadi lebih teruk kerana dunia sedang berhadapan dengan krisis dua dalam satu iaitu wabak penyakit Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Sejarah dunia sudah membuktikan bahawa setiap kali krisis seperti ini berlaku, kesan politik dan sosial setiap negara akan wujud secara semulajadi yang akhirnya akan membawa kepada ketegangan politik, mahupun sosial.

Sejak merdeka, Malaysia sudah melalui enam krisis ekonomi yang utama iaitu yang pertama ialah pada tahun 1970. Ini diikuti dengan krisis tahun 1974 kesan peristiwa Yom Kippur pada tahun 1973 (kesan masalah Israel dan Mesir).

Kemudiannya krisis 1978 (kejatuhan harga komoditi dan minyak akibat revolusi Iran), kelembapan ekonomi 1985 (kejatuhan harga komoditi seperti minyak sawit, minyak dan bijih timah), serangan penyangak matawang, George Soros pada tahun 1997 serta akhir sekali pada tahun 2008 yang hampir terjerut ekonomi Malaysia tetapi berjaya diselamatkan dengan tindakan pantas kerajaan dan Bank Negara.

Walaupun kerajaan berjaya mengatasi semua krisis tersebut dengan baik, penulis melihat kemelesetan ekonomi dunia yang sedang berlaku sekarang jauh lebih besar daripada semua krisis sebelum ini.

Ia kerana ‘The Great Lockdown’ akibat pendamik Covid-19 telah menyebabkan pertumbuhan perdagangan dan aktiviti ekonomi serta urusniaga di seluruh dunia mengalami kemelesetan yang teruk.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kemelesetan ekonomi termasuk Malaysia. Namun indikator paling penting adalah pengumuman suku pertama KDNK Malaysia tahun 2021 adalah 0.7 peratus. Itu baru meliputi tempoh 10 hari PKP dijalankan pada awal tahun.

Bayangkan kita menyambung PKP sehingga kini yang bersifat total lockdown seluruh negara, dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi nadi ekonomi terpaksa berdepan dengan PKP yang menjangkau hampir sepanjang tahun?

Ada pihak yang mengatakan bahawa setiap sebulan PKP, tempoh pemulihan semula ekonomi yang terjejas akan mengambil masa selama enam bulan. 

Bayangkan kita sudah hampir dua tahun melaluinya? Sehingga ke saat ini pun sudah diramalkan akan mengakibatkan tempoh pemulihan yang boleh memakan masa empat hingga sepuluh tahun untuk kembali pulih dan selesa sepenuhnya.

Realitinya, inilah hakikat yang terpaksa kita terima untuk mencapai titik pemulihan impak Covid-19. Pada ketika ini, kita masih bergelut dengan usaha memerangi wabak. Pemulihan sebenar amat sukar selagi kita belum mencapai sasaran maksimum vaksin dan bilangan jangkitan belum berada di bawah paras selamat.

Kita boleh mengadaikan negara kita sedang berada di medan perang. Keadaan ketika ini bolehlah dianggap sebagai tempoh bertahan. Masing-masing perlu berada dalam kubu masing-masing dan terus bertahan dengan sumber-sumber pertahanan yang terhad bagi mengelakkan serangan musuh supaya kita tidak tewas.

Advertisements

Selepas tamat perang, kita perlu membersihkan kawasan perang sambil menyemak tahap keselamatan selepas kejadian perang. Maka pembangunan semula negara selepas ini adalah juga ibarat seperti membina semula sebuah negara selepas perang.

Ini bermakna banyak perkara yang perlu dilakukan yang boleh memberi impak serta-merta, tempoh jangka sederhana (dalam masa lima tahun) dan kesan jangka panjang (dalam tempoh lima tahun dan ke atas).

Perancangan kita sekarang perlu berasaskan dua faktor penting iaitu kehidupan norma baharu pasca Covid-19 dan cabaran global seperti pemanasan global dan lain-lain yang sudah diberi amaran awal oleh pakar-pakar dunia. 

Ini juga mengambil kira keupayaan rakyat Malaysia untuk bersifat berdaya tahan dan berdaya maju secara fizikal dan mental baru.

Sebagai orang Islam, pengajaran daripada al-Quran dan pesan hadis perlu dijadikan sandaran kerana Allah Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang telah menyediakan asas Islam sebagai panduan hidup menuju era akhir zaman.

Oleh itu pembinaan semula negara kita memerlukan pembangunan semula empat perkara penting iaitu gaya hidup yang berteraskan masyarakat berteknologi tinggi, pendidikan dan pembangunan sumber manusia moden yang berpaksikan tauhid, sistem ekonomi model era baru dan keupayaan menghadapi cabaran bencana dan krisis besar dunia masa depan (jaminan keselamatan makanan dan kedaulatan negara).

Impak Covid ini memberi kita satu pengajaran penting juga iaitu kita perlu bersedia untuk memastikan segala jaminan keselamatan dalam negara yang berada dalam keadaan yang mencukupi dan selamat.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh alpa dengan tahap daya saing kita di peringkat antarabangsa kerana pada pandangan penulis, krisis politik yang sudah bernanah dalam tempoh lima tahun kebelakangan telah menjadikan Malaysia ketinggalan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. 

Dengan negara jiran seperti Indonesia yang suatu masa dahulu ketinggalan berbanding Malaysia pun nampaknya kita sudah tercicir di belakang.

Memandangkan proses pembinaan semula negara ini bukanlah calang-calang usaha, maka kita sebagai rakyat Malaysia perlu benar-benar berkemampuan untuk melangkah ke hadapan tanpa gangguan yang besar iaitu ketidakstabilan politik.

Kali ini, rakyat Malaysia perlu berani untuk membuat satu keputusan drastik iaitu mencorakkan politik Malaysia yang baru dan segar. 

Antaranya ialah membuang sepenuhnya pengaruh lama yang tidak boleh meneruskan negara dengan acuan mereka yang penuh dendam, sifat angkuh dan mahu meneruskan kekuasaan sebagai batu loncatan kepentingan peribadi. 

Kekalutan di Malaysia hari ini adalah berpunca daripada perebutan kuasa antara anak-anak buah seorang pemimpin yang pernah penulis umpamakan seperti kongsi gelap berebut kawasan. 

Asalnya mereka adalah satu kumpulan yang berketuakan seorang ketua kongsi gelap suatu masa dulu. Cuma atas hukum karma, hari ini mereka bukan sahaja berpecah dan berebut kawasan sesama mereka tetapi juga kesemua mereka bergaduh dan berebut kawasan dengan ketua mereka sendiri.

Negara Malaysia pasca Covid 19 perlu dibangunkan sendiri oleh generasi zaman baru. Jika itu tidak berlaku, maka impak covid-19 akan menjadi bencana berganda kepada negara jika tidak ditangani dengan cermat dan bijak. Anak cucu kitalah yang akan menjadi mangsa paling buruk. Nauzubillahiminzalik.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan