29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Sabah catat kenaikan 315 peratus kes Covid-19

Mesti Baca

SABAH mencatat peningkatan mendadak kes Covid-19 dengan kenaikan jumlah pesakit positif virus berkenaan mencecah 315 peratus kepada 216 kes yang dicatat sepanjang minggu lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) 49/2023.

Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, jumlah itu menunjukkan pertambahan yang ketara berbanding hanya 52 kes pada ME 48/2023.

Katanya, semua kes yang dicatat pada ME 49/2023 itu adalah kes tempatan dengan purata kes aktif sebanyak 19 kes sehari berbanding hanya tiga kes sehari pada ME 48/ 2023.

“Terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah dan seluruh Malaysia. Walau bagaimanapun, ia masih dalam keadaan terkawal.

“Rakyat Sabah dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kendiri bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

“Penggunaan pelitup muka bagi yang bergejala adalah digalakkan apabila berada di tempat awam terutamanya kawasan tumpuan orang ramai yang sesak,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Sabah.

Advertisements

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, laporan Covid-19 sepanjang ME 49/2023 turut menunjukkan tiada daerah mencatat penurunan kes.

Katanya, sebanyak 17 daerah di Sabah mencatat kenaikan kes, manakala 10 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu sepanjang minggu lalu.

“Daerah yang tidak mencatat sebarang kes baharu ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tambunan, Nabawan, Tongod, Semporna, Kunak, Kalabakan dan Telupid.

“Bagi daerah yang mencatat peningkatan jumlah kes Covid-19 ialah Kota Kinabalu, Penampang, Kota Belud, Papar, Beaufort, Sandakan, Keningau, Ranau, Kuala Penyu, Tenom, Tuaran, Tawau, Putatan, Sipitang, Beluran, Kinabatangan dan Lahad Datu,” katanya.

Berdasarkan laporan perkembangan semasa Covid-19 bagi ME 49/2023, daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan sebanyak 82 kes berbanding hanya enam kes pada minggu sebelumnya, diikuti daerah Penampang sebanyak 21 kes berbanding tiada kes direkodkan pada ME 48 dan daerah Papar dengan 18 kes pada minggu lalu, berbanding hanya lima kes pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Dr Joachim berkata, tiada kes kematian akibat Covid-19 di Sabah sepanjang dua minggu lalu, manakala jumlah pesakit yang dirawat di hospital ketika ini ialah 118 orang. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan