27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Bantu perangi obesiti: Su.Re Sihat KL lancar kempen ‘Lose to Win’

Mesti Baca

DALAM usaha memerangi obesiti di negara ini, Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (Su.Re Sihat KL) melancarkan Kempen Lose to Win.

Program itu dilancarkan berikutan pendedahan terbaharu mendapati Malaysia telah menduduki tangga pertama obesiti di Asia Tenggara dan tangga kedua secara global.

Justeru, badan bukan kerajaan itu berazam untuk menumpukan sumbernya dalam meningkatkan kesedaran terhadap epidemik berkenaan.

Presiden Su.Re Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf berkata, obesiti kini bukan lagi dilabel sebagai penyakit negara dan isi rumah berpendapatan tinggi.

“Dahulu kita menganggap orang menghidap obesiti akibat makan secara keterlaluan. Hari ini, anda pasti terkejut apabila mengetahui bahawa golongan B40 dan asnaf yang berpendapatan rendah juga boleh menghidap obesiti akibat faktor lain seperti kekurangan makanan berkhasiat, suasana bertekanan tinggi, genetik, kualiti hidup yang rendah dan banyak lagi.

“Oleh itu, kami akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi kempen ini untuk mengumpul dana supaya 20 individu berpendapatan rendah yang terpilih dapat menjalani program pengurusan obesiti yang menyeluruh termasuk prosedur kesihatan, pelan nutrisi, senaman dan lain-lain.

“Kami mahu mengubah kehidupan individu terbabit supaya mereka boleh meneruskan pekerjaan mereka untuk menampung ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap apabila kempen ini dapat diteruskan dengan penyertaan rakan kongsi korporat, lebih ramai individu menghidap obesiti dapat menikmati program pengurusan obesiti ini secara percuma.

“Dalam jangka panjang, kempen ini akan mengubah landskap kesihatan di Malaysia apabila semakin ramai orang awam menjadi lebih aktif dalam meningkatkan gaya hidup mereka.

“Program prosedur kesihatan ini termasuklah pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor pakar tersohor di Asia Pasifik dalam bidang saluran gastro usus atas (upper gastrointestinal) dan bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher dari Pusat Perubatan Gastro Usus dan Hati (CENGILD).

Advertisements

“Prosedur bariatrik bukan lagi dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya prosedur penjagaan kesihatan profesional yang menawarkan penyelesaian yang baik untuk obesiti.

“Dari situ, pesakit obesiti akan dibimbing dengan program kesihatan yang lengkap untuk memastikan mereka pulih dengan cepat dan boleh meneruskan pekerjaan masing-masing secara lebih produktif untuk menyara keluarga mereka,” katanya.

Pemilihan calon-calon untuk Kempen Lose to Win Su.Re Sihat KL ini akan disaring daripada pencalonan yang dihantar oleh komuniti tempatan dalam kawasan Lembah Klang.

Pesakit obes dengan Index Jisim Tubuh 35 ke atas akan diberikan keutamaan selepas lulus ujian klinikal untuk memastikan mereka sesuai untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Pesakit diabetes jenis 2, darah tinggi dan gangguan tidur (sleep apnea”) juga boleh menjalani prosedur terbabit.

Ketika pelancaran Kempen Lose to Win baru-baru ini, penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Aishah dan Datin Alyah turut dijemput untuk berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan di bawah pemantauan Dr Mustafa untuk meningkatkan kesihatan dan gaya hidup mereka.

Sementara itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan, kira-kira 50 peratus orang dewasa di Malaysia adalah obes manakala 1 dalam 3 orang remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun juga mempunyai berat badan berlebihan berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup.

Dalam satu laporan lain yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2019 mendedahkan bahawa 12.7 peratus kanak-kanak berusia antara 5 hingga 19 tahun adalah obes bukti bahawa isu obesiti telah mencapai tahap membimbangkan di seluruh negara.

Kempen ‘Lose to Win’ ini akan menjadi salah satu tonggak utama di bawah Su.Re Sihat KL sebagai usaha mendukung inisiatif kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2019, Su.Re Sihat KL telah menganjurkan pelbagai acara mengumpul dana untuk menyokong agenda kesihatan lain termasuklah kanser dalam kalangan kanak-kanak dan mempromosikan aktiviti sukan dan riadah seperti Quidditch, gusti dan zumba untuk kanak-kanak. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan