25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Wanita menderita akibat berat badan capai 150 kg

Mesti Baca


KOTA BHARU – Berat badannya yang mencapai 150 kilogram (kg) memberi bebanan kepada Rosmarina Che Ghani apabila beliau bukan sahaja sukar bergerak malah pernah koma selama 12 hari pada Disember tahun lepas.

Rosmarina, 40, berkata kedua-dua kakinya kini membengkak dan sembap akibat masalah kesihatan yang dideritainya seperti darah tinggi, kencing manis serta asma kronik yang memerlukannya bergantung kepada ubat-ubatan setiap hari.

“Berikutan berat badan berlebihan juga saya hanya mampu berjalan secara perlahan-lahan dengan memegang dinding di dalam rumah atau untuk ke tandas, selain melakukan kerja rumah ringan sahaja,” katanya di rumah sewanya di Taman Desa Rimbunan, Peringat di sini, hari ini.

Bernama melaporkan, Rosmarina berkata, beliau dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bulan lepas selepas koma dan atas sebab itu beliau kini nekad ingin mengurangkan berat badan bagi menjaga kesihatannya.

Katanya, disebabkan pelbagai komplikasi kesihatan yang dihidapinya, Rosmarina perlu menghadiri janji temu dengan pakar perubatan di HUSM Kubang Kerian, namun disebabkan kekangan kewangan selain pengangkutan, beliau terpaksa menukar tarikh atau membatalkan janji temu.

Sebelum ini, Rosmarina menjual makanan secara kecil-kecilan di kawasan rumah namun terpaksa berhenti sejak tiga tahun lepas disebabkan masalah kesihatan dan ujian terus menimpanya apabila suami, Ahmad Dusuki Aziz, 40, kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang berdekatan pada Disember tahun lepas.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan ia digunakan untuk keperluan perubatan selain kos berulang-alik setiap kali menghadiri janji temu di HUSM Kubang Kerian,” katanya.

Beliau berharap agar mendapat bantuan kerusi roda khas elektrik dan katil beroda berikutan kini beliau hanya tidur di kerusi sahaja dan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301441000154726 atas nama Rosmarina Che Ghani.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan