24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

SUA BN tidak tahu soal tarik sokongan terhadap kerajaan PN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak tahu menahu tentang wujudnya gerakan parti itu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Beliau mendakwa sehingga kini belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Dewan Tertinggi BN tidak ada membincangkan sebarang perkara berkaitan cadangan meninggalkan PN sebelum 1 Ogos ini.

“Ini mungkin berita yang disampaikan oleh kalangan mereka yang membuat berita-berita, saya selaku Setiausaha Agung BN tidak ada apa-apa berita berkaitan dengannya.

“Hal-hal yang demikian, setakat ini tidak kita bincangkan, Saya tidak dapat komen lebih daripada itu,” katanya seperti dilapor portal berita PNBBC hari ini.

Edisi 9 yang memetik laporan Utusan TV melaporkan, beberapa pemimpin kanan UMNO dikatakan giat melaksanakan usaha bagi membawa parti itu keluar daripada kerajaan PN melalui apa yang dianggap sebagai ‘Projek 7 Julai’.

UMNO dikatakan akan membuat keputusan tersebut pada 7 Julai ini, selepas pucuk pimpinan parti mendapat persetujuan daripada Ahli Parlimen, Pengerusi Perhubungan Negeri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Ahli Majlis Tertinggi (MT).

‘Projek 7 Julai’ didakwa bertujuan bagi membolehkan jajaran baharu politik diwujudkan dengan berusaha mendapatkan kerjasama PKR sekaligus untuk membuka laluan kepada penubuhan kerajaan baharu pada tarikh berkenaan atau selewat-lewatnya 8 Julai.

Sebelum ini media melaporkan UMNO memanggil ahli-ahli Parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

Sumber parti yang layak dipercayai memberitahu, lebih 10 ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipanggil menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat UMNO, bagi membincangkan perkara itu.

Isu tersebut kemudian turut dilaporkan oleh beberapa portal berita lain yang juga memetik sumber dalaman UMNO, yang juga parti tunjang dalam BN.

Advertisements

Ahmad Maslan yang dihubungi Edisi 9 untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut semalam, bagaimanapun tidak memberikan maklum balas sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkongsi laporan Sinar Harian bertarikh 28 Mac lalu iaitu PAU 2020 meluluskan usul supaya Presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi mandat menentukan bila-bila masa untuk menarik diri daripada kerajaan PN.

Keputusan itu dicapai menerusi undian sebulat suara daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan terbesar parti itu.

Laporan media itu memetik ucapan Ahmad Zahid sebagai berkata berkata, pendirian parti itu akan dibuat sekiranya kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak mempunyai indikasi bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan.

Beliau berkata, isu membabitkan sokongan terhadap kerajaan PN itu diambil memandangkan hampir keseluruhan perwakilan dan jurucakap parti yang mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh mengenai perkara tersebut.

Ahmad Zahid bersama beberapa pemimpin UMNO lain didakwa sedang menggerakkan jajaran baharu politik melalui kerjasama dengan PKR dan DAP untuk mengambil alih Putrajaya.

Bagaimanapun, Pengerusi Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan Ahli-ahli Parlimen UMNO akan berpegang kepada arahan menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan serta No Anwar, No DAP yang diputuskan semasa PAU 2020 lalu.

Beliau berkata, mana-mana pihak tidak boleh melangkaui keputusan PAU termasuk MKT parti.

“Walaupun dalam ucapan Perhimpunan (PAU) ada beberapa peristiwa berlaku di mana perwakilan bangun menyokong termasuklah supaya tarikh menentukan bila hendak keluar dibuat boleh MT, tetapi itu hanya ucapan dan bukan keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu peralihan kuasa Putrajaya kembali hangat diperkatakan berikutan keputusan kerajaan untuk memulakan semula sidang Parlimen sebelum 1 Ogos selepas tiga kali Yang di-Pertuan Agong menitahkan cadangan agar dewan itu bersidang secepat mungkin. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan