CYBERJAYA – Pengumuman kerajaan berhubung pembukaan semula sekolah untuk lima negeri yang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok dilihat sebagai langkah yang tepat.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, lima negeri berkenaan iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis adalah penyumbang bilangan sekolah luar bandar dan pedalaman yang besar selain di Sabah dan Sarawak.
“Ini bermaksud lebih ramai murid-murid bagi kelas peperiksaan di sekolah kawasan luar bandar dan pedalaman di lima negeri akan berpeluang belajar dengan lebih baik secara bersemuka di dalam bilik darjah bersama guru mereka.
“Konsep desentralisasi pendidikan mengikut negeri ini satu keputusan yang tepat dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.
Pada masa yang sama, Anuar berharap agar Kementerian Pendidikan mengambil langkah yang lebih berkesan dan bersasar dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi negeri-negeri yang masih dalam Fasa 1 PPN.
Menurut beliau, misalnya, Kementerian Pendidikan perlu mengenal pasti kumpulan murid-murid yang berhadapan dengan isu ketiadaan peranti dan internet serta segera membantu mereka.
“Begitulah juga dengan bantuan menguruskan tekanan mental dan emosional murid-murid.
“Kegagalan kementerian mengambil tindakan penambahbaikan pendidikan yang proaktif akan menyebabkan ketidaksetaraan akses pendidikan akan berlaku antara murid-murid kelas peperiksaan di negeri di Fasa 2 PPN berbanding murid-murid di negeri-negeri Fasa 1 PPN yang masih terpaksa meneruskan PdPR,” jelasnya. – EDISI 9