30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

63 premis gagal patuh SOP PKP diarah tutup

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 63 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 83,068 pemeriksaan COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,661 orang.

“Ia termasuk pemeriksaan SOP ke atas 1,915 kilang, 18,278 premis perniagaan, 574 tapak pembinaan dan 192 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

bekerja premis SOP
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan, seramai 547 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri menambah, daripada jumlah itu, seramai 533 individu dikompaun manakala 14 orang lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal (97), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (82), gagal merekod butiran diri/ daftar masuk premis (67), tidak memakai pelitup muka (56), membawa penumpang berlebihan (44) dan lain-lain kesalahan (201),” jelasnya.

Secara keseluruhan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 83,068 pemeriksaan semalam.

Operasi Pematuhan itu melibatkan 4,401 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,661 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP.

Berubung Op Benteng pula, beliau berkata, pasukan keselamatan telah menangkap 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di 8 lokaliti seluruh negara mulai 13 hingga 26 Julai.

Kawasan-kawasan terbabit adalah Kampung Gong Jering di Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan; Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias di Beaufort, Sabah; Kampung Tebongon di Putatan, Sabah; Borneo Timber di Tongod, Sabah serta tiga lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Jalan Pasir, Likas; Kampung Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru, Telipok.

SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.

Sementara itu dua lokaliti di Sabah dilanjutkan PKPD iaitu Penjara Kepayan di Kota Kinabalu mulai 12 hingga 25 Julai manakala Kampung Nahaba di Kota Belud mulai 13 hingga 26 Julai.

Sebanyak dua lokaliti ditamatkan PKPD hari ini iaitu Tringkap di Cameron Highland, Pahang dan Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang) di Kinabatangan, Sabah.

Tujuh lagi lokaliti ditamatkan PKPD esok iaitu Pangsapuri Westlite-PKNS Petaling Jaya; Apartment Mentari Court, PJS 8, Bandar Sunway, Petaling Jaya; Kampung Penimbawan di Tuaran; Kampung Linau di Kota Belud serta Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD); Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu dan Rumah Panjang Malang Anak Bada, Sungai Bayan. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan