25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

England kempunan, Piala Euro 2020 ‘pulang ke Rome’,

Mesti Baca

ENGLAND yang mara buat kali pertama dalam kejuaraan Eropah kempunan untuk membawa pulang Piala Euro 2020 sebaliknya ia menjadi milik Itali untuk diterbangkan ke Rome.

Itali yang beraksi cemerlang sepanjang Euro 2020 dengan mengekalkan rekod tanpa dalam 34 perlawanan menewaskan Three Lions menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas keputusan terikat 1-1 pada aksi final Euro 2020 di Stadium Wembley sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad Itali kendalian Roberto Mancini masih mengekalkan kesebelasan yang sama seperti ketika menewaskan Sepanyol di peringkat separuh akhir minggu lalu.

Skuad bimbingan Gareth Southgate pula mencipta kelainan dengan menggunakan formasi 3-4-3 apabila meletakkan pemain pertahanan kanan tambahan, Kieran Trippier dalam kesebelasan utama.

Keputusan tersebut ternyata memihak buat pasukan tuan rumah yang berjaya menjaringkan gol menerusi ledakan Luke Shaw seawal minit ke-2 selepas menyudahkan hantaran Trippier.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad The Azzurri memperkemaskan corak permainan dengan memberi tumpuan pada aspek penguasaan bola dan berjaya mengekang serangan balas yang dilakukan oleh pasukan lawan.

Malah, pemain sayap sensasi Itali, Federico Chiesa turut memiliki peluang keemasan tetapi beberapa rembatan yang dilakukannya pada babak pertama sedikit tersasar.

Bersambung separuh masa kedua, Chiesa telah melakukan gerakan yang cukup menarik untuk mengelirukan benteng pertahanan England tetapi sepakan derasnya berjaya ditepis penjaga gol, Jordan Pickford pada minit ke-57.

Pickford akhirnya tertewas berselang 10 minit kemudian selepas keadaan kucar-kacir di bahagian pertahanan hasil sepakan penjuru sebelum Leonardo Bonucci memanfaatkan peluang terhidang tersebut.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha untuk memburu gol kemenangan tetapi wisel penamat 90 minit sudah ditiupkan oleh pengadil untuk memaksa saingan diheret ke masa tambahan.

Pada masa tambahan, England yang menduduki ranking ke-4 dunia terus mengasak kubu Itali tetapi rembatan yang dilakukan oleh pemain tengah, Kalvin Philipps gagal menguji penjaga gol, Gianluiggi Donnaruma.

Itali juga memiliki peluang menerusi rembatan percuma yang dilakukan oleh pemain gantian, Federico Bernardeschi tetapi sepakannya tepat ke arah Pickford dan akhirnya perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Domenico Berardi, Bonucci, Bernardeschi berjaya menyempurnakan sepakan penalti, manakala sepakan Jorginho dan Andrea Belotti pula ditepis oleh Pickford.

Harry Kane, Harry Maguire pula meledak gol buat skuad Three Lions tetapi Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal memberikan jaringan yang diharapkan selain mudah diselamatkan oleh Donnaruma.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Itali berjaya meraih trofi paling berprestij Eropah buat kali kedua sejak edisi 1968 manakala England terus kempunan untuk menjulang piala utama dunia selepas kali terakhir memenangi Piala Dunia pada 1966 di gelanggan sendiri. – Agensi

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan