25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 29, 2021

Pekerja Indonesia ditipu majikan, jadi buruh paksa

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seorang pekerja warga Indonesia telah diselamatkan daripada menjadi mangsa buruh paksa selepas mendapat aduan dan maklumat daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, hasil risikan yang dijalankan pada 7 dan 8 Julai lalu telah membawa kepada operasi menyelamat mangsa pada 9 Julai yang diketuai oleh ibu pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) ibu pejabat dan JTKSM Perak.

Kementerian itu memberitahu, operasi menyelamat yang bermula pada pukul 6.30 pagi itu dilancarkan dengan kerjasama pasukan Task Force MAPO serta pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

“Mangsa, seorang wanita warga Indonesia berumur 36 tahun dibawa masuk ke Malaysia oleh seorang ejen yang memaklumkan bahawa beliau akan bekerja sebagai pembantu rumah serta dijanjikan gaji sebanyak RM1,000.

“Mangsa telah diminta untuk membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan.

“Bayaran tersebut telah selesai dibayar kepada ejen melalui potongan gaji mangsa pada Disember 2017, Januari 2018 dan Februari 2018,” kata Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah kementerian itu, majikan dikatakan mengambil kesempatan dengan memanipulasi pekerja tersebut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah dan dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Baca juga:   37,144 remaja di Johor sudah menerima vaksin

Kementerian Sumber Manusia berkata, majikan turut menjadikan isu PATI sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental.

Baca juga:   Ulama Pasuruan, Habib Hasan meninggal dunia, ribuan beri penghormatan terakhir

“Mangsa juga pernah dipukul oleh majikan dengan menggunakan tangan apabila tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan mangsa,” jelas kementerian itu.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, selain itu, mangsa tidak diberikan makanan sekiranya beliau menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal atau tidak mahu bekerja lagi dengan majikan terbabit.

Malah, kementerian itu berkata, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi situasi di mana wang gaji yang telah diserahkan ke tangan mangsa diambil semula oleh majikan.

“Melalui siasatan awal, terdapat indikator buruh paksa yang telah dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Mangsa yang diselamatkan masih dalam keadaan trauma dan kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan perintah perlindungan interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Taiping pada tarikh sama mangsa diselamatkan.

“IPO tersebut sah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 30 Julai 2021 bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTKSM, dan seterusnya dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan,” kata Kementerian Sumber Manusia.

Kata Kementerian Sumber Manusia, operasi menyelamatkan pekerja warga Indonesia itu jelas menunjukkan usaha bersepadu secara berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasaan termasuk JTKSM dalam menangani isu buruh paksa sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit. – EDISI 9

Baca juga:   JKM bantu 4,422 murid kematian ibu, bapa akibat Covid-19
Baca juga:   Kebakaran hutan, Kalimantan Tengah isytihar darurat

Terkini

Kos penyediaan RMK-12 kecil sahaja, bukan RM2 bilion

CYBERJAYA - Kerajaan tidak pernah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sepertimana didakwa...

Lagi Artikel Berkaitan