SEORANG wanita warga Indonesia yang dijadikan buruh paksa dengan bekerja sebagai pembantu rumah tanpa rehat dan gaji berjaya diselamatkan dalam satu serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas sebuah premis kediaman di Batu Caves, Selangor Isnin lalu.
Operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat yang diterima daripada sumber yang tidak boleh didedahkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, wanita berkenaan ditemui sedang bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda di premis tersebut.
“Siasatan mendapati mangsa bertindak sedemikian atas arahan majikan bagi mengelak dikesan oleh pegawai operasi.
“Mangsa yang berusia 56 tahun itu dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji sebanyak RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran gaji sejak dua tahun lalu.
Katanya, ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul oleh majikan.
Selain itu, tambah beliau, pasport milik mangsa tidak berada dalam simpanannya sepanjang tempoh dia bekerja.
Malahan, wanita tersebut juga berdepan sekatan komunikasi apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit serta dilarang menghubungi dan pulang menemui keluarga.
“Mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat hingga terpaksa mencuri masa untuk tidur,” kata beliau.
Ekoran itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 51 tahun yang merupakan majikan mangsa telah ditahan dan mengaku mendapatkan khidmat mangsa melalui ahli keluarga terdekat.
Katanya, operasi menyelamat itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“JIM telah memulakan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
“JIM memandang serius perkara seumpama ini dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang,” tegas beliau.
Sabit kesalahan di bawah ATIPSOM 2007, individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun, serta boleh dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan yang lebih berat.
Sehubungan itu, Zakaria menasihati orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkenaan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil dalam usaha membanteras jenayah ini. — Edisi 9

