SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan, Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua pihak dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
SPRM juga, katanya, akan memanggil semua pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan.
“Sehubungan itu, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera terhadap bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tanpa sebarang campur tangan luar.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang.
Semalam, Shamsul Iskandar melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri kerana mendakwa ada percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Justeru, katanya, peletakan jawatannya itu bagi membolehkan beliau mempertahankan diri daripada serangan tersebut.
Media sebelum itu melaporkan bahawa Shamsul Iskandar didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan, Albert Tei berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Tei mendakwa dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah. — Edisi 9

