26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

4,839 kenderaan cuba rentas sempadan diarah patah balik

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melakukan rentas negeri atau daerah diarahkan oleh polis berpatah balik kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan.

Menurut beliau, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal rentas daerah dan negeri telah memeriksa sebanyak 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri menasihatkan seluruh rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan PPN dan tidak merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Tambah beliau, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha pada Selasa ini, bertujuan memastikan kes positif dari kluster komuniti susulan sambutan perayaan dapat dibendung.

“Larangan rentas negeri, begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman.

“Sebaliknya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi,” jelasnya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 74,793 pemeriksaan COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,645 orang.

“la termasuk pemeriksaan ke atas 1,993 buah kilang, 16,569 premis perniagaan, 506 tapak pembinaan dan 243 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 62 premis meliputi kilang premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” jelasnya.

Selain itu, katanya, seramai 441 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 423 individu dikompaun manakala 18 lagi direman.

Beliau memberitahu, pasukan keselamatan juga berjaya menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat dalam Op Benteng semalam. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan