CYBERJAYA – Keputusan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan menambahbaik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini adalah bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus yang baik yang ditetapkan United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).
Menurut beliau, TH merupakan institusi kewangan yang disifatkan sistemik dan saling berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar iaitu dari segi saiz deposit dan pelaburan.
“Ia meliputi mengurus sejumlah hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua tahun 2021, merangkumi 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam.
“Sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam. Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam berkenaan.
“Selain itu, TH memegang sebanyak RM36 bilion sukuk korporat, selain mempunyai aset saham yang besar dalam bentuk pelaburan strategik di pelbagai syarikat korporat termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan merupakan pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad.
“Sehubungan itu, bagi meningkatkan kemampanan TH dalam jangka masa panjang, cadangan aturan pengawalseliaan yang lebih formal di bawah BNM akan meletakkan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759],” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemantauan dan kawal selia oleh BNM merupakan komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai sebuah institusi Islam yang lebih berdaya tahan di dalam ekosistem kewangan negara dan ke arah mengangkat kedudukan TH sebagai sebuah Government-Linked Investment Company yang cemerlang dan lestari di peringkat global.
“BNM dipertanggungjawabkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 [Akta 701] antara lainnya untuk memelihara kestabilan sistem kewangan negara. Bagi melaksanakan mandat ini, BNM telah diberi kuasa menurut Akta 701 dan juga Akta 759 termasuk mengawalselia institusi kewangan bersifat sistemik, tertakluk kepada keperluan tadbir urus yang terkandung di dalam Akta-Akta berkenaan.
“Pendekatan yang sama telah digunapakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).
“Oleh yang demikian, cadangan rangka kerja pengawalseliaan oleh BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu fit-for-purpose regulation, tidak semestinya sama dengan institusi perbankan lain,” katanya.
Mengambil contoh, Zafrul menjelaskan, keperluan pematuhan kecukupan modal yang khusus akan dibangunkan bersesuaian dengan model perniagaan TH iaitu pengambilan deposit (bahagian liabiliti) untuk tujuan pelaburan (bahagian aset), berbeza dengan institusi perbankan yang mengambil deposit (bahagian liabiliti) bagi tujuan utama memberi pembiayaan (bahagian aset).
“Keperluan kecairan yang bersesuaian dengan ciri-ciri deposit dan pelaburannya bagi memastikan TH dapat mengurus aspek kecairan dengan lebih mantap dalam memenuhi kehendak pengeluaran pendepositnya tanpa mendatangkan kesan negatif terhadap keberuntungan TH dan sistem kewangan secara keseluruhannya.
“Oleh demikian, pengawal seliaan oleh BNM adalah perlu bagi mewujudkan aspek semak dan imbang (check and balance) selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah,” kata beliau.
Tengku Zafrul berkata, dalam hal ini, secara dasarnya BNM akan menumpukan peranan kawal seliaannya antara lain terhadap aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan.
Tambah beliau, pendekatan semak dan imbang yang serupa telah dilaksanakan dalam pasaran modal dan industri lain.
“Contohnya Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak menghalang atau menyekat PNB daripada melaksanakan mandat asalnya dalam agenda pembangunan negara terutamanya memakmurkan ekonomi bumiputera.
“Justeru, pendekatan semak dan imbang bukanlah suatu perkara yang baharu malah telah lama diamalkan dalam konteks tadbir urus pembangunan negara,” katanya.
Dalam konteks syariah, beliau berkata, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah BNM yang dianggotai oleh para cendekiawan syariah dan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman serta turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tengku Zafrul berkata, walaupun TH dicadangkan sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang ditetapkan, lerajaan akan tetap memberi jaminan terhadap simpanan pendeposit.
“Dalam erti kata lain, pendeposit TH terus menikmati jaminan Kerajaan seperti sekarang (status quo) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].
“Pendekatan ini adalah sama seperti BSN yang dikawalselia oleh BNM di mana simpanan pendeposit masih dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan,” tambahnya.
Justeru, jelas beliau, setiap aktiviti pelaburan TH hendaklah patuh syariah dan penilaian pelaburan perlu dilaksanakan melalui satu proses yang teliti dan telus seperti mana amalan institusi dana yang lain dengan penubuhan Panel Pelaburan yang dianggotai oleh individu-individu yang mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam bidang kewangan dan pelaburan.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan pelaburan yang dibuat adalah teratur dan berpandukan risk appetite TH, serta dapat menjamin pembayaran hibah dibuat selaras dengan ketetapan di bawah peruntukan Seksyen 22(3) Akta 535.
“Kementerian Kewangan akan bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk memastikan hak mutlak dan kepentingan pendeposit TH tidak akan terhakis, malah akan ditambahbaik,” katanya.- Edisi 9