CYBERJAYA – Bagi meringankan beban kewangan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.
Menurut beliau, pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan sebanyak RM30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.
“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan RM150 bilion bagi memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat.

Pakej itu turut merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
PEMULIH tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
Muhyiddin memberitahu, langkah itu merupakan keputusan sukar kerana kerajaan sedar, ia adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021 dan peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
“Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.
“Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” katanya.
Muhyiddin turut mengumumkan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di samping itu, katanya, kerajaan menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan
Beliau menambah, penangguhan juga diberikan terhadap bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.
“Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah RM400 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat,” jelasnya.
Bagi agenda menyokong perniagaan, Muhyiddin mengumumkan, kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500 akan dibayar pada bulan September dan RM500 lagi pada bulan November 2021.
“Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira sejuta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka, insya-Allah.
“Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.
Katanya, melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.
“Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah RM4,000, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan.
“Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000,” ujarnya.
Selanjutnya, jelas Muhyiddin, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.
“Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak RM425 juta,” katanya.
Seterusnya, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program PenjanaKerjaya dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan.
“Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada RM1,500 kepada RM1,200 untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan.
“Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan,” katanya.
Muhyiddin berkata, bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk PMKS dan RM100 juta untuk PKS.
“Pertama, meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.
“Kedua, menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5 ribu untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.
“Ketiga, menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM). Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital.
“Keempat: Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. Program ini yang akan dilaksanakanmelalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu,” katanya.
Bagi membantu lebih 8,000 penggiat seni dan terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan.
Menurut beliau, peruntukan ini antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu.
“Di samping itu, kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula.

“Sehubungan itu, kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8,000 pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
“Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian serta bersetuju bantuan kewangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada semua pengusaha kantin berdaftar.
Selanjutnya, beliau berkata, kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gim, boling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti.
“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi membantu golongan kurang upaya yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan.
“Untuk itu, RM30 juta diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20,000 orang OKU,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing golongan OKU dan gelandangan dalam perniagaan.
“Sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40,000 individu,” katanya.
Beliau menambah, bagi 9,000 usahawan MARA yang turut terjejas akibat COVID-19, kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka membuat permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.
Menurut Perdana Menteri, MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021.
“Saya menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat GLC dan PBT turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan,” jelasnya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS.
Menurut beliau, sehingga kini, masih terdapat RM6.6 bilion baki sedia ada daripada keseluruhan RM25.1 bilion yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon baharu.
“Melalui pakej PEMULIH hari ini, BNM bersetuju untuk menambah RM2 bilion lagi menjadikan baki dana ini berjumlah RM8.6 bilion,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion ringgit.
“Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah RM500 juta dan TEKUN sebanyak RM100 juta.
“Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak RM3 bilion dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro,” katanya.
Tidak ketinggalan, Muhyiddin memaklumkan, institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan RM 20 juta bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.
“Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi,” jelasnya.
Beliau juga menyedari bahawa sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19.
Sebagai pendorong atau kick-start, katanya, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar.
“Kerajaan juga telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.
“Seterusnya, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan,” katanya. – EDISI 9