24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

669,846 pekerja daftar vaksinasi bawah PIKAS

Mesti Baca

CYBERJAYA – Seramai 669,846 pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara telah mendaftar vaksinasi di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat semalam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, PIKAS mempunyai matlamat untuk mempercepatkan vaksinasi untuk sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.

Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama.

“Dalam masa yang sama PIKAS dilaksanakan, kerajaan tetap komited dalam memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah PICK akan kekal menjadi keutamaan,” kata MITI dalam kenyataan media, hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melawat PPV kelolaaan MITI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

PPV tersebut telah memulakan proses vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan di Selangor hari ini dan adalah salah satu daripada 8 PPV Penggunaan Umum di seluruh negara yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 5 Julai 2021.

Terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS – PPV Penggunaan Umum dan PPV Di Tapak di mana PPV Penggunaan Umum melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel manakala PPV Di Tapak pula adalah PPV di premis kilang.

Advertisements

Lawatan tapak yang diadakan pada hari ini oleh Mohamed Azmin adalah untuk meninjau proses vaksinasi di PPV PIKAS SCCC dan memastikan semua persiapan berjalan dengan lancar.

PIKAS adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang telah dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan untuk membantu mempercepatkan vaksinasi di kalangan rakyat, dengan menyasarkan tenaga kerja dalam sektor-sektor pembuatan kritikal.

Program ini diperkenalkan berikutan cadangan daripada persatuan industri, dewan perdagangan serta perusahaan kecil dan sederhana yang ingin mempercepatkan vaksinasi bagi pekerja di dalam sektor pembuatan agar pekerja kekal berasa selamat di tempat kerja dan terhindar daripada bahaya COVID-19.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam hantaran Facebook berkata, SCCC telah dikenal pasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk program PIKAS di Selangor.

“SCCC mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pemberian sebanyak 1,500 dos sehari, dan secara keseluruhan, 25,000 pekerja akan diberikan suntikan mereka di sini,” jelasnya.

Menurut beliau, sehingga semalam, sebanyak 229 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 36,942 di Selangor telah memohon menyertai program PIKAS.

Tambah Mohamed Azmin, selain SCCC, dua PPV lain iaitu Hotel Equatorial, Pulau Pinang dan Austin International Convention Center di Johor juga memulakan operasi hari ini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan