30.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, December 10, 2023

Cara memohon kemudahan pengeluaran i-Citra KWSP

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mula memohon kemudahan tersebut di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021.

Menurut KWSP, pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

KWSP berkata, semua ahli di bawah umur 55 tahun layak untuk memohon i-Citra, yang membolehkan mereka mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar untuk tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.

“Nombor telefon bimbit yang telah dikemas kini untuk menerima kod pengesahan transaksi (TAC) dan akaun bank peribadi aktif diperlukan untuk memudahkan proses permohonan,” kata KWSP dalam kenyataan media, hari ini.

KWSP menambah, i-Citra diperkenalkan sebagai inisiatif bagi membantu ahli menghadapi cabaran dan diusahakan setelah dipertimbangkan dengan teliti cara terbaik untuk membantu ahli yang terjejas sekaligus berpegang kepada mandat KWSP.

Kumpulan dana persaraan itu turut menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik dengan memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Citra untuk membantu ahli KWSP mendepani cabaran kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam jangka masa pendek.

“Walaupun KWSP tetap komited untuk membantu melindungi dana persaraan ahli, kami maklum perlunya keseimbangan bagi keperluan semasa dengan simpanan masa depan dan kemudahan sementara bagi membantu ahli dalam menghadapi pandemik ini,” jelas KWSP.

Untuk maklumat lebih lanjut, ahli boleh merujuk laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tentang kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi ahli-ahli KWSP yang terjejas ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.

Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan sebanyak RM30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. – EDISI 9

Terkini

354 pelajar sulung YEG Academy berjaya tamatkan pengajian

SERAMAI 354 pelajar sulung Diploma Pengurusan Haji dan Umrah (DHUMY) di bawah Your Education Guidance (YEG) Academy berjaya menamatkan pengajian...

Lagi Artikel Berkaitan