26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

RM10 bilion bantuan tunai langsung bantu rakyat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion ringgit sehingga hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan tunai langsung itu merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurut beliau, semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun.

Manakala, katanya, BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September nanti.

“Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan nilai keseluruhan RM150 bilion bagi memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat.

bantuan rakyat

Pakej itu turut merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sehingga akhir 2021 dengan kadar dan kategori berikut:

  • Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 ringgit pada Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November;
  • Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan
  • Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti.
  • Secara keseluruhan, pemberian khas BKC dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.
bantuan rakyat

Selain itu, Muhyiddin berkata, melalui Bantuan Kehilangan Pendapatan pada Oktober nanti, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam tahun 2021.

“Bantuan itu dijangka memanfaatkan sehingga sejuta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta ringgit,” jelasnya.

Seterusnya, beliau berkata, kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

“Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300,” ujarnya.

kerja

Muhyiddin menambah, kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.

Beliau memberitahu, inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20,000 pencari pekerja dalam ekonomi gig.

Perdana Menteri berkata, sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

“Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik.

“Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.

“Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing,” katanya.

Advertisements

Menurut beliau, sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

bantuan rakyat

Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion tahun ini.

“Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil.

“Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol,” ujarnya.

Muhyiddin menjelaskan, bagi memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion.

“Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50,” jelasnya.

minyak masak

Berhubung masalah sosial termasuk tekanan mental dan emosi, beliau berkata, kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih.

“Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM15 juta ringgit kepada badan-badan bukan kerajaan atau NGO dalam membantu kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt/jam sebulan.

Antaranya, tambah beliau, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.

“Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021,” jelasnya.

elektrik

Katanya, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.

“Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion.

Perdana Menteri turut mengumumkan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

“Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai RM500 juta bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan, kerajaan akan menawarkan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar.

“Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang; pembayaran bil serta perbankan digital,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan