CYBERJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memberi fokus kepada sektor perladangan sawit sebagai permulaan.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, cadangan pelaksanaan projek rintis itu akan diadakan di Selangor, dengan anggaran pekerja seramai 5,000 orang dan telah mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
Menurut beliau, tindakan selanjutnya sedang diperincikan bersama CITF untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Melalui program vaksinasi di bawah projek rintis ini, bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan.
“Namun, pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain yang terlibat seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan (KKM), peralatan perubatan (mengikut standard KKM), kos pemvaksin, doktor/ jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Khairuddin memberitahu, penyertaan pihak industri dalam program ini adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan agrikomoditi secara berkumpulan.
Dalam hal ini, katanya, KPPK mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak industri serta persatuan dalam membantu kerajaan melalui kementerian bagi menjayakan program vaksinasi yang bakal dilaksanakan kelak.
“KPPK akan memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung pelaksanaan program ini melalui siaran media dan juga laman sesawang kementerian di www.mpic.gov.my.
“Kementerian berharap melalui program dengan kerjasama pihak swasta ini, sasaran imuniti kelompok Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dicapai dengan lebih cepat,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyatakan komitmen KPPK mendukung usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi termasuk kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi di pelbagai sektor.
“Ini bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini seperti yang dirancang melalui PPN yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selari dengan hasrat yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – EDISI 9