27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengambil langkah segera untuk memastikan pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian daripada Cameron Highlands dapat berjalan seperti biasa. 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia termasuklah mengusulkan suntikan vaksin kepada peladang dan pekerja-pekerjanya dilaksanakan secepat mungkin.

“Sebagaimana yang telah dimaklumkan, hanya 30 hingga 40 peratus bekalan sayur Cameron Highlandes datang daripada ladang-ladang di Kampung Raja.

“Peratusan ini tidak akan menjejaskan rantaian bekalan sayur di pasaran keseluruhannya,” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan KPDNHEP telah membuat sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, Wakil Pemborong, Majlis Keselamatan Negeri Pahang dan Pejabat Daerah Cameron Highlands.

Turut serta Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan beberapa agensi kerajaan lain bagi memastikan bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Kampung Raja telah dilaksanakan bagi tujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“KPDNHEP juga dimaklumkan bahawa semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja di Cameron Highlands beroperasi seperti biasa. Hasil daripada sesi libat urus tersebut juga, PDRM telah memaklumkan pergerakan lori-lori untuk membawa keluar sayur dari Cameron Highlands adalah dibenarkan.  

“Pada masa yang sama, ladang sayur di kawasan Lojing dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa isu pengangkutan dan pengedaran,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas bekalan dan harga sayur-sayuran di pasaran. ‘’Penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

‘’Pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik kerana bekalan sayur adalah stabil dan mencukupi. Pengguna boleh membuat aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang melalui pelbagai saluran aduan yang telah disediakan oleh kementerian ini,’’ kata kenyataan tersebut.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan