27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

11 lokaliti seluruh negara bawah PKPD mulai 8 Jun

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 11 lokaliti di seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 8 hingga 21 Jun 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media hari ini berkata, antara 11 lokaliti berkenaan adalah Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading serta Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan; Kampung Ongkilan, Kota Marudu; Kampung Pulutan dan Kampung Murni di Nabawan dan Kampung Bolong Baru, Tuaran.

PKPD turut dikuatkuasakan di dua perkampungan di Kota Belud iaitu Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson manakala satu lagi lokaliti terletak di Kampung Bergosong di Pulau Sebatik, Tawau.

Sementara itu, PKPD di tujuh mukim di Kuantan akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Mukim-mukim tersebut adalah Mukim Beserah, Mukim Kuala Kuantan 1, Mukim Kuala Kuantan 2, Mukim Penor, Mukim Sungai Karang, Mukim Ulu Kuantan dan Mukim Ulu Lepar.

PKPD di Taman Abaka di Ladang Table, Tawau turut ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri memberitahu, seramai 982 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 933 individu dikompaun manakala 49 orang lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (222), gagal merekod butiran diri/ daftar masuk premis (150), rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran/ makan di premis (133), tiada penjarakan fizikal (125), membawa penumpang berlebihan (105), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (89), premis gagal patuhi arahan (23) dan lain-lain (135),” katanya.

Ismail Sabri menambah, pasukan keselamatan telah menahan seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

“Sebanyak 208 buah bot/ kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” jelasnya.

Secara keseluruhan, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 67,733 pemeriksaan semalam.

Ia melibatkan 4,426 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 17,327 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan