KUCHING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sarawak telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang leka merompak hasil laut negara pada jarak lebih kurang 100 batu nautika dari Tanjung Po, Kuching, sekitar pukul 4.45 pagi kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing Vietnam di perairan Sarawak.
Berikutan itu, menurut beliau, Maritim Malaysia Negeri Sarawak melakukan pemantauan rapi di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan bot nelayan asing dan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam awal pagi semalam.
“Pihak penguat kuasa telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan dan disyaki bot nelayan Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan di lokasi tersebut sekitar pukul 4.00 pagi.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan telah cuba melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zin Azman memberitahu, pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 45 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat.
Beliau menambah, pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Enam kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
“Enam kru termasuk tekong dan bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Kuching untuk siasatan lanjut.
“Manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 7000 liter serta hasil tangkapan sekitar satu tan metrik ikan campur dirampas. Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta,” jelasnya.
Zin Azman berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua kru telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.
Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – EDISI 9