31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia, Brunei, Indonesia gesa PBB segera bertindak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Malaysia, Brunei dan Indonesia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera dan mengambil semua langkah yang wajar bagi menjamin keselamatan melindungi rakyat Palestin yang diancam oleh rejim Zionis Israel.

Penegasan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Berikut adalah kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia, Brunei dan Indonesia:

Kami mengecam sekeras-kerasnya pelanggaran secara terang-terangan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel yang menyasarkan orang awam di Wilayah Palestin Yang Diduduki, terutamanya di Jerusalem Timur dan Gaza, yang telah membunuh, mencederakan yang mengakibatkan penderitaan ramai orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kami juga sangat bimbang dengan perluasan penempatan haram dan pemusnahan serta perampasan struktur-struktur milik rakyat Palestin di sekitar Tebing Barat termasuk Jerusalem Timur.

Kami juga mengecam pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan termasuk undang-undang kemanusian dan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel selaku Kuasa Yang Menduduki melalui dasar-dasarnya yang tidak berperikemanusiaan, kolonial dan aparteid terhadap rakyat Palestin di Wilayah Yang Diduduki, justeru menyeru kepada tindakan bersama yang pantas dan bertanggungjawab bagi memastikan kebertanggungjawaban yang perlu bagi pelanggaran-pelanggaran itu.

Kami menyeru semua pihak untuk melaksanakan kawalan maksimum, menghentikan serangan terhadap orang awam, mengambil langkah meredakan keadaan serta menegakkan undang-undang antarabangsa dan keamanan.

Kami menggesa kedua-dua pihak menerima keberadaan pihak antarabangsa secara sementara di Kota Al-Quds bagi memantau penamatan ketegangan di Wilayah Palestin Yang Diduduki.

Kami juga menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera dan mengambil segala langkah yang wajar bagi menjamin keselamatan dan perlindungan orang awam Palestin di seluruh Wilayah Palestin Yang Diduduki, sambil mengingatkan bahawa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB khususnya mempunyai tanggungjawab khas bagi menyeru agar keganasan dihentikan dan memenuhi obligasinya bagi menegakkan keamanan global.

Kami menggesa Perhimpunan Agung PBB untuk mengadakan sidang tergempar untuk menangani perkembangan yang membimbangkan ini dan membentangkan Resolusi Bersatu Untuk Kedamaian dengan matlamat menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk kekal teguh dengan komitmen mereka dalam memastikan pelaksanaan ‘penyelesaian dua negara’ bagi mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka, mengikut garis sempadan sebelum 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negaranya.

Kami mengulangi penegasan tentang solidari dan komitimen terhadap rakyat Palestin termasuk hak untuk mempunyai negara sendiri dan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Kami bersedia untuk menyokong usaha antarabangsa yang bertujuan mencapai kedamaian menyeluruh, adil dan berkekalan di Asia Barat dengan bersandarkan kepada Resolusi-resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan