30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Malaysia gesa OIC beri tekanan untuk hentikan keganasan Israel

Mesti Baca

MALAYSIA terus membuktikan ketegasannya dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin apabila menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memberi tekanan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membetulkan kesilapannya dan menggalas tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan.

Ketika membawa suara tegas Malaysia itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, OIC perlu berbuat demikian bagi memastikan Majlis Keselamatan PBB bertindak segera, menguatkuasa resolusinya dan kedaulatan undang-undang.

“Israel perlu dipaksa mematuhi sepenuhnya semua kewajipannya seperti ditetapkan dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB berkaitan, termasuk Resolusi 2334 dan undang-undang antarabangsa, serta Piagam PBB.

“Ketika ini, ramai rakyat Malaysia termasuk saya, kecewa dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan PBB dengan segera menghentikan keganasan Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

“Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin. Majlis Keselamatan PBB tidak seharusnya dihalang daripada melaksanakan mandatnya dalam situasi di Palestin,” katanya.

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Beliau berkata demikian ketika mencelah dalam Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar, hari ini.

Hishammuddin menegaskan perkara itu yang terkandung antara enam cadangan dikemukakan Malaysia bagi menangani tindakan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa oleh Israel di Wilayah Palestin ketika ini.

Beliau berkata, ia cadangan terbaik untuk tindakan seterusnya dalam berdepan situasi berkenaan.

Hishammuddin juga berkata, semua negara anggota OIC perlu bersatu dalam menyokong pahit getir rakyat Palestin berdepan konflik penindasan terkini di tangan Israel kerana tanpa kesatuan itu, umat Islam akan goyah dan menggagalkan tujuan penubuhan organisasi dihormati berkenaan.

Malaysia kata beliau, mencadangkan bagi memastikan keselamatan rakyat Palestin, OIC perlu menggesa PBB memberi perlindungan antarabangsa terhadap wilayah diduduki Palestin, berikutan ia akan menghalang keganasan berterusan, selain pelanggaran hak asasi manusia di kawasan itu.

Advertisements

Beliau berkata, Malaysia berpendirian gesaan untuk perlindungan PBB itu selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama Konvensyen Geneva akan menjamin kebertanggungjawaban semua pihak dalam konflik berkenaan.

Selain kata beliau Malaysia juga mencadangkan masyarakat antarabangsa, terutama negara anggota OIC, bersungguh-sungguh menggunakan semua saluran perundangan, politik dan ekonomi untuk memberi tekanan terhadap Israel.

“Malaysia baru-baru ini bekerjasama dengan Indonesia dan Brunei untuk bersama-sama mengecam serangan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Perdana Menteri Malaysia bersama-sama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia, Presiden Joko Widodo, pemimpin kepada lebih 250 juta umat Islam di Asia Tenggara, akan bersama-sama mendesak Israel menghentikan keganasannya di wilayah diduduki Palestin.

“Cadangan kelima, negara anggota OIC perlu menggesa masyarakat sivil di seluruh dunia terus mendesak kebertanggungjawaban dan memberi penekanan kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa di wilayah diduduki Palestin,” katanya.

Beliau berkata, peranan mereka penting dalam membentuk pendapat umum dan mencetus tekanan dari bawah ke atas.

Tegas Hishammuddin, beliau sendiri melihat dan memuji usaha ramai rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengutuk keganasan terhadap rakyat Palestin, secara dalam talian.

Ia bagi memastikan penindasan terhadap rakyat Palestin dapat difahami di seluruh negara dan wilayah, ketika ada usaha sesetengah pihak lain yang melabelkan mereka sebagai sebagai pengganas.

Untuk cadangan terakhir kata Hishammuddin, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa terus mencari penyelesaian berpanjangan terhadap konflik berkenaan, selain bertindak segera bagi menangani punca konflik itu, seterusnya kembali ke meja perundingan untuk mengakhiri penjarahan Israel. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan...

Lagi Artikel Berkaitan