29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

ICU penuh: KKM-ATM bina ‘ICU Field’ di Hospital Kepala Batas

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mendirikan Unit Rawatan Rapi (ICU) Lapangan di Hospital Kepala Batas (HKB), Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital tersebut memerlukan ICU sokongan selepas trend kemasukan pesakit ke unit tersebut di negeri itu meningkat lebih 45 peratus dalam masa dua minggu.

“Berdasarkan kepada analisis situasi semasa, KKM berpandangan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU yang dikhaskan untuk merawat pesakit kritikal di HKB di atas faktor peningkatan kadar penggunaan katil ICU COVID-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih daripada 100 peratus.

“KKM juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang telah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini dan trend ini dijangka akan berterusan khususnya apabila wujudnya kluster-kluster baharu yang melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain,” katanya menerusi Facebook KKM hari ini.

Sebelum itu, Dr Noor Hisham telah mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU yang akan didirikan di HKB.

Beliau telah diberikan taklimat oleh Pengarah Perubatan Markas ATM-Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Mej. Jen Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan.

Antara kemudahan yang ada dalam ICU Lapangan ATM. – Sumber: FB KKM

Sesi itu turut disertai oleh delegasi KKM dari Program Perubatan dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan bagi melancarkan proses pembinaan ICU Lapangan tersebut.

Dr Noor Hisham berkata, ICU Lapangan yang bakal didirikan di HKB akan menggunakan konsep modular dan mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19.

ICU tersebut turut dilengkapi dengan alat bantuan pernafasan serta peralatan sokongan hidup lain seperti mesin dialisis untuk pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang akibat daripada jangkitan Covid-19 dan infusion pump bagi menyokong fungsi jantung.

Beliau berkata, ATM juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di ICU tersebut.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini menyampaikan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih terutamanya kepada Jeneral Tan Sri Panglima Angkatan Tentera, Leftenen Jeneral Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, dan seluruh warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas segala kerjasama yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan bagi membina Field ICU di HKB ini.

“Semoga segala usaha ini dapat membantu KKM dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan