YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menegur penggunaan media sosial dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mahukan perkongsian maklumat berkaitan organisasi itu dihentikan serta-merta.
Seri Paduka Baginda bertitah, peperangan antara Iran dan Israel memperlihatkan bagaimana maklumat daripada syarikat-syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial, mudah didapati untuk melakukan serangan.
“Janganlah memuat naik semua perkara termasuk maklumat berhubung organisasi, penempatan pasukan, lokasi gerakan dan lain-lain maklumat sensitif mengenai ATM.
“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum.
“Adalah lebih baik kita beringat, supaya tidak menyesal di kemudian hari,” titah Sultan Ibrahim seperti dimuat naik menerusi Facebook rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa Titah Diraja bersempena Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia di Kem Perdana, Sungai Besi, hari ini.
Seri Paduka Baginda turut menyeru ATM untuk sentiasa bersiap-siaga menghadapi landskap geopolitik yang semakin mencabar dan tidak menentu.
“Peperangan di antara Iran dan Israel serta konflik di Gaza menunjukkan undang-undang antarabangsa juga tidak mampu untuk memelihara keamanan.
“Oleh sebab itu, adalah penting bagi ATM untuk sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ini kerana kita tidak dapat tahu siapakah kawan dan siapakah lawan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM Tahun 2025.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Istiadat perbarisan pentauliahan ini merupakan satu pengiktirafan rasmi kepada Pegawai Kadet ATM yang telah menamatkan latihan ketenteraan masing-masing dengan jayanya, sekali gus menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai Pegawai Muda dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi ATM berkenan memeriksa perbarisan pegawai-pegawai kadet diiringi Panglima Angkatan Tentera dan Pegawai Perbarisan. — Edisi 9

