“BULI bukan budaya kita. Buli bukan DNA MRSM.”
Itu penegasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika membuat lawatan mengejut ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut, Terengganu susulan insiden buli yang tular beberapa hari lalu.
Beliau yang hadir tanpa sebarang makluman kepada pihak pengurusan maktab itu berkata, tindakan tersebut diambil bagi meninjau sendiri keadaan dan mendapatkan maklum balas terus daripada pelajar.
“Saya amat kecewa dan dukacita apabila dimaklumkan wujud insiden buli di maktab ini. Perkara ini amat serius. Ia langsung tidak mencerminkan nilai-nilai yang kita semai dalam sistem MRSM,” katanya selepas bertemu dan menyampaikan amanat kepada pelajar di surau MRSM tersebut, semalam.
Menurutnya, MRSM bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi medan pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan masa depan negara.
Budaya buli, katanya, mencemari asas kukuh yang telah dibina puluhan tahun oleh institusi pendidikan di bawah MARA.
Sebagai langkah pencegahan, MARA kini menerapkan dasar tegas “You Touch, You Go”, yang bermaksud tiada tolak ansur terhadap pelaku atau sesiapa yang bersubahat dalam kes buli.
“Prinsip kita jelas, sesiapa yang terlibat dalam sebarang bentuk buli akan dikenakan tindakan tegas. Kita sasarkan ‘Sifar Buli’ di semua MRSM,” tambah beliau.
Beliau turut memberi jaminan bahawa MARA akan terus memperketatkan pemantauan dan mengambil tindakan menyeluruh bagi memastikan budaya toksik seperti itu dapat dihapuskan hingga ke akar umbi.
“Satu insiden tidak boleh dibenarkan untuk merosakkan reputasi seluruh institusi. Kita tidak akan kompromi. Budaya buli mesti dibanteras sepenuhnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM berkenaan mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama pada malam Selasa sebelumnya sehingga mendakwa mengalami kecederaan pada perut, rusuk dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu dipetik berkata, mangsa mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, selain ditumbuk pada bahagian perut dan ditampar muka.
Kejadian itu dikatakan disedari warden bertugas yang kemudian membawa mangsa dan suspek ke pejabat warden sebelum penjaga mangsa dihubungi dan pelajar itu seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.48 petang Rabu dan suspek disyaki terbabit ditahan keesokannya.
Azamuddin juga dilapor berkata, polis menerima laporan kedua daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian sama.
Dalam laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada Khamis, mangsa kedua memaklumkan dibuli kumpulan pelajar sama dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam, 24 Jun lalu di asrama putera dan mengalami kecederaan bahagian kaki kanan dan kiri.
Setakat ini tujuh pelajar ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut. — Edisi 9

