25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Apakah kaedah menangani nasib IKS di musim Aidilfitri?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PENULIS sepatutnya menulis tentang peranan media ASEAN dalam mewujudkan kerjasama, keharmonian dan jaringan ekonomi di kalangan ahli negara ASEAN.

Bagaimanapun setelah melihat situasi Covid-19 dan kesannya kepada industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, penulis amat bersimpati dan menukar fokus tajuk minggu ini kepada isu IKS ketika ini sebagai keutamaan topik.

Bagi pengusaha IKS tempatan, khususnya Bumiputera, musim perayaan Aidilfitri adalah waktu puncak terbaik bagi mereka mendapatkan jualan tertinggi, berbanding masa yang lain.

Namun begitu, sejak wabak Covid-19 melanda dunia pada tahun lalu, pendapatan IKS menjadi begitu teruk terutama apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Kini, PKP sudah masuk versi 3.0 yang sebelumnya IKS meletakkan harapan untuk meraih pendapatan yang lebih baik, berbanding tahun lalu. Ketiadaan pelanggan, langkah SOP yang ketat dan permintaan produk yang sangat-sangat perlahan menjadikan sebahagian besar mereka amat tenat.

Penulis sudah meramalkan semua situasi ini. Pada tahun lalu, penulis memperkenalkan program Story Telling Advertising Strategy (STAR) bagi membantu usahawan IKS melonjakkan perniagaan ketika PKP 1.0.

Alhamdulillah, ternyata strategi penulis berjaya melonjakkan jualan mereka daripada kosong kepada nilai jualan mencecah ratusan ribu ringgit dalam masa dua bulan.

Selain kaedah video penceritaan yang menarik, pendekatan pemasaran digital dan media sosial berteraskan Cash On Delivery (COD), STAR bukan sahaja dapat melonjakkan jualan serta-merta, bahkan membina kekuatan jenama produk IKS.

Begitu juga melalui pendekatan penceritaan dengan watak utama seperti Opah Yang (lakonan Saerah Abdul Majid, pengasas Dodol Opah Yang) bukan sahaja berjaya menjadi ikon IKS Perak, khususnya Perak Tengah, bahkan memberi impak baru tambahan seperti sektor pelancongan yang tiba-tiba melonjak di Perak Tengah.

Ini diakui oleh kerajaan negeri Perak sehingga menarik perhatian Dato’ Saarani Mohamad, exco Perak (kini Menteri Besar) melawat sendiri usahawan-usahawan yang berjaya penulis lonjakkan.

Tahun ini, penulis lebih banyak mahu menumpukan usahawan graduan baru dan pembangunan pekerja estet perladangan. Maka sudah pasti penulis menjadi terlalu sibuk dan bercadang untuk tidak mahu lagi memberikan tumpuan kepada program STAR.

Oleh kerana IKS mengadu jualan mereka begitu perlahan berbanding tahun lalu, penulis menyambung STAR dengan versi baru pada tahun ini.

Penulis (kanan sekali) ketika melancarkan program Lonjakkan Jualan IKS Kita, baru-baru ini.

Menggunakan platform digital Ordar.my, penulis telah melancarkan versi baru perniagaan atas talian dengan menggalakkan pembelian atas talian dan pesanan COD.

Penulis berkongsi kos promosi bersama pengusaha IKS bagi mengurangkan beban mereka ketika ini. Konsep win-win ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek promosi tetapi juga kempen kesedaran kepada masyarakat supaya berbelanja dengan berhemah untuk menyokong IKS tempatan yang terjejas akibat Covid-19.

Pada 30 April lalu, penulis melancarkan versi baru STAR di bawah platform Ordar.my yang dihadiri oleh IKS terpilih dan rakan-rakan media. Selepas video pertama Dodol Opah Yang viral ke seluruh negara dalam masa beberapa jam, jualan dodol Opah Yang naik hampir 10 kali ganda, berbanding sebelumnya.

Paling ketara ialah kenaikan mendadak produk tersebut dalam salah satu platform perniagaan atas talian yang popular di Malaysia. Sebelum video Opah Yang yang dihasilkan penulis viral, jualan atas talian berkenaan hampir tiada.

Ini bermakna, konsep penceritaan sebagai elemen pengiklanan sangat penting dan populariti sesuatu perniagaan atas talian tidak akan menjamin larisnya sesuatu jualan jika penerbitan secara creative content tidak disertakan.

Justeru, penulis hairan kenapa pihak yang bertanggung jawab tidak dapat mempertingkatkan platform digital dan kaedah pengiklanan seperti STAR dan Ordar.my?

Dalam kerajaan bercakap tentang perniagaan Norma Baharu, kita masih lagi bercakap tentang bazar Aidilfitri, lebih-lebih lagi ketika covid-19 sedang menggila. Apakah kewajarannya?

Berdasarkan pengalaman penulis, IKS bukan lagi mahukan bantuan one-off yang tak seberapa, sebaliknya memerlukan akses jualan yang berkesan kerana jika jualan dilonjakkan, mereka mampu bertahan dan terus berdikari.

Agensi kerajaan sepatutnya bekerjasama dengan platform online seperti yang penulis wujudkan. Selain itu, kempen kesedaran untuk meningkatkan kuasa beli juga perlu dilakukan sama ada di peringkat rakyat, mahupun kerajaan negeri.

Contoh paling baik ialah kerajaan sendiri perlu membeli produk-produk IKS tempatan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan terutama ibu-bapa yang rata-rata anak-anak mereka gagal pulang ke kampung akibat larangan rentas negeri dan daerah.

Walaupun aktiviti sambutan perayaan dilarang, ketua-ketua jabatan boleh membantu IKS dengan cara memberi dan menghadiahkan atau mengedarkan produk-produk makanan tersebut kepada kakitangan agensi masing-masing, menggantikan amalan rumah terbuka jabatan-jabatan kerajaan seperti sebelum ini.

Manakala jika setiap kawasan parlimen dan DUN diberi peruntukan khas sumbangan kuih hari raya sempena Aidilfitri, penulis yakin ramai pengusaha akan berasa lega.

Apa yang penulis sarankan di atas, bukanlah retorik tetapi sebahagian tindakan tersebut sudah penulis lakukan dengan kapasiti sebagai penggiat keusahawanan sosial dan pemimpin persatuan pembangunan komuniti.

Peliknya, apakah pemimpin dan ketua-ketua jabatan tidak mahu berfikir dan bertindak seperti yang penulis sarankan?
Kadangkala, BODOH SOMBONG ini menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan.

Kesempatan ini, penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin.

Jangan lupa saksikan drama pendek komedi bertajuk Raye PKP Lagi terbitan Ordar.my yang akan disiarkan menerusi saluran fb dan Youtube Ordar Marketing menjelang hari raya beberapa hari lagi.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan