26 C
Kuala Lumpur
Friday, May 10, 2024

Durian lambang perpaduan dan kekayaan baharu

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SUATU masa dahulu, ketika negeri Perak antara negeri terkaya di Malaysia, selain bijih timah, buah durian adalah lambang kekayaan orang Perak, khususnya orang-orang Melayu. 

Pada era tahun 70an hingga tahun 1990an, kebanyakan penjual durian khususnya di pusat jualan utama seperti Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang menjadi pusat pemborong buah durian negara seringkali menjual nama durian Perak iaitu durian Kampung Gajah, walaupun durian yang dijual sebenarnya berasal dari negeri lain.

Sesuai dengan gelaran sebagai Raja Buah, durian adalah antara lambang kekayaan orang-orang Melayu Perak suatu masa dahulu. Semakin luas saiz dusun durian yang dimiliki, semakin tinggi status kekayaan pemiliknya. 

Pada masa lalu, kalau mahu meminang anak dara orang Perak, ibu-bapa akan berfikir dua kali untuk meminang anak-anak pemilik dusun durian yang luas kerana dikhuatiri tidak sama darjatnya. Sehingga bermain kata-kata “pipit sama pipit, enggang sama enggang”.

Hakikat ini ada dinyanyikan oleh Allahyarham Mohd Yusof b. Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr. Os dalam lagu bertajuk Doyan Udah Berbunge (Durian Sudah Berbunga). 

Antara liriknya ialah beliau hanya berani meminang anak dara Kampung Padang Tenggala (sebuah perkampungan orang kaya Melayu di Mukim Bota, Perak), hanya apabila kelihatan durian akan bermusim tidak lama lagi.

Antara nama-nama popular durian di Perak suatu masa dahulu adalah Durian Paduka, milik Allahyarham bapa penulis, Haji Abdul Malek bin Kulub Aji yang telah menjuarai Pesta Durian Negeri Perak pada tahun 1984 dan 1995. Dalam rekod Jabatan Pertanian Malaysia, Durian Paduka telah didaftarkan pada 2 April 1985 dengan pendaftaran D148.

Sejak dulu, raja buah ini tidak sunyi dengan pelbagai kisah menarik dan panas kerana kehebatan musim durian akan menarik perhatian banyak pihak, sama ada penggemar durian, mahupun pemilik dan penjual durian. 

Kalau di era 70-an dan 80-an, penulis sempat menyaksikan bagaimana gelagat orang kampung yang tiba-tiba mendapat rezeki ‘durian runtuh’ ketika musim durian.

Ketika itulah, mereka boleh bertukar wajah dan watak yang bengis kerana berasakan duit sentiasa penuh di poket. Darah mereka juga sentiasa panas sehingga tidak boleh tercuit walau sedikit pun.

Pada hari ini, kekuatan raja buah ini juga menjadikannya rebutan masyarakat antarabangsa seperti negara China, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Australia.

Jumlah eksport yang mencecah 35,000 tan metrik dengan nilai jualan sebanyak RM 100 juta setahun, telah menjadikan durian berharga begitu tinggi di dalam negara sendiri.

Dalam konteks Malaysia, sejak dulu lagi buah durian sememangnya menjadi kegemaran semua kaum. Penulis masih ingat bagaimana tauke-tauke Cina memenuhi kampung-kampung Melayu setiap kali musim durian tiba.

Penulis bersama pelbagai kaum menikmati buah durian dalam program bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional pada tahun 2019.

Rumah bapa penulis juga akan dipenuhi pelbagai kaum yang menjadi sahabat baik bapa penulis untuk menikmati buah durian kami. Tradisi ini penulis teruskan sehingga ke hari ini.

Sepatutnya, tradisi makan bersama buah durian perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional  untuk memupuk semangat muhibah dan integrasi nasional antara semua kaum.

Pada tahun 2019, penulis memperkenalkan program makan durian pelbagai kaum ini yang telah dijayakan dengan begitu meriah sekali.

Bayangkan pelbagai kaum yang datang dari bandar-bandar, berkampung di kampung tradisional Melayu untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang berasaskan buah durian.

Ini juga telah berjaya mencetuskan ilham program pelancongan desa dan pelancongan pertanian di daerah Perak Tengah. Sepatutnya penulis menjayakannya lagi dengan aktiviti yang lebih meriah pada tahun lalu dan tahun ini. Namun, situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghalang misi besar tersebut.

Advertisements

Di peringkat antarabangsa pula, penulis pernah menggerakkan misi untuk menjadikan Perak Tengah sebagai destinasi pelancongan buah durian bertaraf antarabangsa sejak tahun 2012. Antara negara yang sempat menikmati syurga raja buah tersebut ialah Jepun, China, Thailand, Singapura, Indonesia, Australia dan Vietnam.

Ketika musim durian tahun 2017, penulis berjaya menganjurkan Perkampungan Media Asean yang menghimpunkan wakil-wakil media negara-negara Asean.

Menariknya selepas itu ialah kehadiran pemimpin-pemimpin kerajaan Thailand yang mengadakan kunjungan rasmi ke Perak Tengah. Lawatan tersebut telah membawa sejumlah 40 wartawan daripada pelbagai stesen TV Thailand.

Antara faktor pendorongnya adalah buah durian. Peristiwa bersejarah tersebut adalah hasil laporan media Thailand yang mengakui kehebatan rasa buah durian Kampung Gajah yang dianggap juga jauh lebih sedap berbanding dengan  durian Thailand sendiri.

Penulis bersama durian Paduka yang sedang bermusim sekarang.

Namun begitu, di sebalik kemeriahan itu, timbul rasa sedih dan kecewa penulis apabila melihat bangsa Melayu yang suatu masa dulu menguasai kekayaan dan pemilikan dusun durian tiba-tiba sekadar mengedip mata melihat buah yang tidak mampu dibeli. Jauh sekali untuk menjadi pengeluar atau pengeksport.

Pernah berlaku satu insiden di sebuah bandar, bagaimana penulis sedih melihat sebuah keluarga yang membatalkan hasrat untuk memenuhi kehendak anak-anak mereka membeli buah durian apabila harga sebiji durian mencecah sehingga RM 120.00 (dalamnya hanya mempunyai 4 ulas sahaja). Mereka tidak mampu dan berasa tidak berbaloi dengan harga tersebut.

Zaman berubah. Maka putaran nilai ekonomi buah durian juga sudah berubah. Kita akan tertinggal dalam arus kemajuan jika kita masih leka dan tidak sensitif dengan peredaran zaman dan persekitaran baru.

Di sinilah kerajaan perlu menyusun semula pembangunan industri buah durian supaya kekayaannya dapat dikongsikan secara adil dan saksama. Apa erti kita mendabik dada sebagai pengeluar durian terbaik dunia, sedangkan rakyat tempatan sekadar mampu mengambil bau sahaja.

Sudah tiba masanya, satu transformasi yang lebih komprehensif dilakukan kerajaan untuk mengimbangi keperluan komersil dan mengekalkan tradisi warisan bangsa Malaysia.

Proses anjakan dan lonjakan ini bukan sahaja melibatkan amalan dan teknologi baru buah durian tetapi perubahan baru yang lebih serius berkaitan ‘Transformasi Dusun Durian’ yang berteraskan Kepelbagaian Penjanaan Aliran  Pendapatan (Multistream Income) melibatkan saiz komersil, individu dan komuniti.

Penulis bukanlah retorik dalam hal ini kerana pembangunan dusun durian di Perak Tengah sudah diinisiatifkan oleh penulis sejak tahun 2009. Langkah tersebut bermula dengan transformasi kompleks Desa Warisan IGROW, Pulau Tiga yang menjadi milik penulis.

Fungsi dusun durian ini, bukan sahaja sebagai pusat buah durian terbaik seperti Durian Paduka (D148) tetapi juga sebuah kompleks yang sudah menjadi model multistream dalam dan luar negara.

Sepatutnya, sebuah ladang berteknologi baru boleh menjadi katalis yang besar di Sungai Galah, Jalan Tanjung Tualang, Perak yang diluluskan pajakannya  oleh GLC kerajaan negeri Perak pada tahun 2017 tetapi dirampas semula dengan kejam setelah pelbagai pengkhianatan dilakukan dengan rasa bangga oleh mereka yang terlibat.

Maka tidak hairanlah, bangsa kita akan terus menangis pada masa depan akibat pemimpin hari ini yang tidak mempunyai daya fikir dan jiwa yang besar. Bertaraf ikan sardin, bukan ayam. 

Dalam konteks durian, janganlah anak cucu kita diberitahu pada masa depan, dah dapat durian gred C, janganlah pula meminta durian premium.

Masa untuk ‘Kita Rakyat Sendiri Menjaga Sesama Rakyat’.

Pelbagai kisah menarik pengalaman penulis membangunkan industri durian bersama keluarga sejak tahun 1980an boleh disaksikan melalui saluran facebook IGROW dan Facebook Jerih Jaya milik penulis dalam masa terdekat.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial.

Advertisements

Terkini

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90...

Lagi Artikel Berkaitan