30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90 pada 23 April lalu berada dalam keadaan airworthy atau selamat untuk terbang.

TLDM dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan laporan awal oleh Lembaga Siasatan yang ditubuhkan, kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

Malahan, tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM).

“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” kata kenyataan itu hari ini.

TLDM berkata, Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 mempunyai kotak hitam namun pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.

Katanya, data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder atau kotak hitam pesawat HOM AW139 telah diterima pada 3 Mei daripada pihak pengeluar peralatan (OEM) untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan.

“Lembaga Siasatan yang ditubuhkan dianggotai oleh seramai sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara.

“Lembaga Siasatan ini turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan ATM,” katanya.

TLDM berkata, kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman kotak hitam pesawat HOM.

“Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut,” katanya.

Antara perkara yang diteliti merangkumi analisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil tersebut menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar.

Advertisements

Lembaga Siasatan juga akan mendapatkan bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.

“Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan Laporan Akhir secara menyeluruh dan terperinci.

“TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Lembaga Siasatan kini sedang berusaha untuk menyiapkan Laporan Akhir, yang dijangka siap pada 29 Mei 2024,” katanya.

TLDM juga, kata kenyataan itu, akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya, terutamanya berhubung dengan ganjaran dan faedah-faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90.

10 mangsa yang terkorban itu termasuk dua pegawai memerintah skuadron helikopter TLDM iaitu Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM iaitu Komander Muhamad Amir Mohamad.

Dua pegawai berpangkat Leftenan Komander turut meninggal dunia iaitu Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.

Selain itu, mangsa yang terkorban ialah Leftenan T Sivasutan; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Insiden tersebut turut mengorbankan tiga penumpang iaitu Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kanan JJM, Joanna Felicia Rohna. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Presiden Iran dikhuatiri maut, helikopter dinaiki terhempas

PRESIDEN Iran, Ebrahim Raisi dikhuatiri terkorbN dalam nahas helikopter yang berlaku di barat laut negara itu. Memetik laporan Reuters, helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan