33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Inspirasi Ali Rustam dan kepayahan di Perak

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

DALAM tempoh lebih 25 tahun penulis bergelar usahawan, kenangan terindah berniaga ialah ketika di Melaka dari tahun 2008 hingga 2016. 

Mulanya banyak pihak pelik bagaimana penulis yang merupakan anak Perak – sebuah negeri besar dan kaya suatu masa dulu, tiba-tiba berhijrah ke Melaka setelah 10 tahun mencuba nasib di negeri kelahiran sendiri. 

Melaka dikenali sebagai sebuah negeri yang sangat kecil dan dikatakan hanyalah  sebesar saiz seluruh wilayah Felda Jengka, Pahang sahaja.

Keputusan berpindah ke Melaka adalah satu pertaruhan kepada penulis yang ketika itu hampir berputus asa dengan masalah perniagaan berikutan dasar kerajaan dalam bidang latihan kemahiran dan persekitaran budaya perniagaan di Perak yang tidak bersifat ‘eko perniagaan yang mesra’ (eco business friendly)”.

Sebelum membuat keputusan tersebut, penulis berbincang dengan banyak pihak terutama dalam kalangan rakan-rakan usahawan mengenai cara untuk meneruskan perniagaan yang terumbang-ambing dalam tempoh 10 tahun di Perak.

Akhirnya, banyak pihak terutama pemimpin-pemimpin utama negara mencadangkan kepada penulis supaya berpindah ke Melaka. 

Antara justifikasi mereka ialah Ketua Menteri Melaka ketika itu iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Kini Tun dan Yang Dipertua Negeri Melaka) sedang menuju status negeri maju. Beliau bukan sahaja mesra usahawan tetapi juga memerlukan bakat seperti penulis untuk bersama beliau mencapai misi negeri maju tersebut.

Dengan sokongan kuat kerajaan pusat di Putrajaya ketika itu, penulis mengenalpasti sebuah kompleks resort pelancongan yang diperkenalkan oleh sahabat penulis di Durian Tunggal, Melaka sebagai tapak baru untuk dijadikan pusat latihan pertanian swasta. 

Bermula dengan menyewa, dalam tempoh 2 tahun sahaja penulis berjaya membeli kompleks berkenaan serta beberapa tanah-tanah sekelilingnya.

Kali pertama Mohd. Ali menemui penulis dan menjejak kaki di situ ialah pada tahun 2009, beliau melahirkan kekaguman apabila penulis berjaya merubah resort peribadi yang asalnya milik tauke Cina terkemuka di Melaka menjadi sebuah pusat latihan pertanian swasta dan kegiatan agropelancongan baru.

Lokasinya yang terletak di kawasan agak terpencil dikelilingi ladang kelapa sawit milik kaum Cina membuatkan Mohd. Ali teruja kerana ada anak Melayu seperti penulis mampu melakukannya.

Berikutan itu, Mohd. Ali bertanya apa yang boleh beliau lakukan untuk membantu penulis mengembangkan lagi perniagaan di Melaka. Secara terus terang, beliau berharap penulis tidak memohon tanah kerajaan negeri kerana Melaka tidaklah besar.

Oleh kerana mahu menfokuskan teknologi pertanian, penulis memohon supaya dibenarkan menggunapakai kemudahan Institut Biotek Melaka di Ayer Keroh bagi pembangunan latihan dan pengeluaran produk tisu kultur berasaskan bioteknologi.

Hasrat itu dizahirkan ketika jamuan makan di rumah penulis sebaik sahaja beliau selesai menutup acara tahunan program Agro-X Race sekolah-sekolah Malaysia yang kami anjurkan di kompleks pertanian tersebut.

Saya kagum dan terharu apabila sebaik Sahaja mendengar hasrat penulis, Mohd.Ali serta merta menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Biotek Melaka meminta beliau berbincang dengan penulis.

Ia bagi membolehkan perancangan dibuat bagaimana untuk merealisasikan impian penulis itu kerana beliau yakin penulis akan memeriahkan institut berkenaan yang dilihat lesu akibat mentaliti dan budaya biasa pengurusan agensi kerajaan.

Mohd. Ali (tengah) bersama penulis menyaksikan bersama perjanjian kerjasama antara Institut Skill-Tech dengan Institut Biotek Melaka pada tahun 2009.

Setelah perbincangan kedua-dia pihak, Mohd. Ali terus memantau dengan bertanya penulis progres perundingan. 

Setelah persetujuan dicapai, beliau sendiri mahu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara kami dengan institut berkenaan. Sikap serius dan minat beliau terhadap kebolehan penulis dizahirkan ketika terjadi sedikit masalah pada saat akhir majlis tersebut apabila pegawai undang-undang negeri ketika itu lewat sampai untuk membawa dokumen perjanjian. Kemarahan beliau menyebabkan ramai yang takut dan kecut.

Selain kejayaan menggunapakai institut bioteknologi, Mohd. Ali sentiasa meminta penulis dijemput terutama dalam urusan berkaitan pertanian, pendidikan tinggi dan pelancongan. 

Walau bagaimanapun, kemuncak keyakinan beliau kepada penulis adalah ketika beliau mahu melawat ladang sawit usahasama Yayasan Melaka dengan Kerajaan negeri Sabah di Tawau pada tahun 2010. 

Beliau terkejut melihat penulis bersama dengan wakil kerajaan negeri Sabah menunggu beliau di lapangan terbang. Penulis membantu ladang tersebut dalam hal berkaitan sumber manusia kerana ketika itu penulis sedang bekerjasama dengan Koridor Sabah dalam bidang latihan perladangan dan pelancongan homestay.

Mohd. Ali telah menghubungi Ketua Urusetia Jawatankuasa Pembangunan Homestay negeri Melaka di bawah Kota Melaka Berhad (KMB) (GLC milik kerajaan negeri) dan mencadangkan penulis dilantik menganggotai jawatankuasa itu. 

Agak lucu juga kerana peristiwa itu berlaku di sebuah kedai kopi kampung di Tawau ketika penulis dan beliau berkonvoi menuju ke ladang usahasama tersebut.

Mesyuarat jawatankuasa yang bersidang hampir setiap bulan memberi pengalaman berharga buat penulis. Tugas kami sebagai perancang, pelaksana dan pemantau program pelancongan homestay di Melaka memberi inspirasi dan idea kepada penulis membangunkan kegiatan yang sama di Kampung Gajah, Perak.

Sejak itu, penulis  terus mendapat sokongan kerajaan negeri dengan menjadikan kami sebagai pusat lawatan model pembangunan pertanian generasi baru di peringkat dalam, mahupun luar negara.

Bagi memastikan survival kami, beliau sendiri pernah mengaturkan pertemuan penulis dengan Perdana Menteri di Melaka apabila penulis berdepan dengan karenah birokrasi yang melibatkan bajet kerajaan suatu masa dulu.

Sebagai tanda sokongan juga, Mohd. Ali tidak pernah terlepas untuk merasmikan Agro X Race sekolah-sekolah Malaysia yang pernah menjadi acara tahunan kami di Melaka sebagai aktiviti agropelancongan/edutourism. 

Satu peristiwa yang tidak dapat penulis lupakan apabila beliau yang sepatutnya merasmikan majlis kami pada pukul 9.30 pagi, tiba-tiba muncul pada pukul 8.pagi. Kelam kabut juga urusetia kami tetapi Mohd. Ali mengambil kesempatan untuk menikmati suasana resort kami yang bercirikan agropelancongan.

Jika hendak dikongsikan sikap business friendly Ali kepada golongan usahawan seperti penulis sendiri, banyak yang boleh diceritakan tetapi cukuplah sekadar penulis mengungkapkan rasa penghargaan yang sangat besar kepada beliau.

Atas sebab itulah maka penulis mengekalkan hubungan baik kami walaupun beliau sudah tidak bergelar Ketua Menteri lagi.

Namun, penulis terpaksa meninggalkan negeri Melaka apabila mengejar impian untuk membangunkan kampung halaman sendiri di kampung Gajah, Perak pada tahun 2016. 

Keputusan balik semula ke Perak sebenarnya tidak dipersetujui oleh banyak pihak terutama keluarga penulis. Mereka  bimbang apa yang dilalui penulis sebelum ini akan berulang kerana persekitaran pembangunan, ekonomi dan sikap pemimpin di Perak masih tidak berubah. 

Proses membangunkan kampung halaman penulis ini sudah bermula sejak tahun 2012 apabila kerajaan bersetuju memilih Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak  sebagai perintis program Kerjasama Lautan Biru Kebangsan (My Kampung, My Future) pada tahun 2012.

Sebelum kembali semula ke Perak pada tahun 2016, penulis sudah dapat menjangkakan keadaan di negeri itu masih sama seperti dulu dan akan merumitkan penulis sekali lagi. Namun atas tekad untuk membangunkan kampung halaman, penulis kuatkan semangat dan bersangka baik kerana kebetulan Menteri Besar ketika itu sahabat baik penulis.

Bagaimanapun harapan itu meleset sama sekali kerana pelbagai faktor yang penulis lihat masa depan Perak untuk membangun dengan baik dan kompetitif hari ini dan masa depan amat sukar jika semua pihak di negeri tidak mengubah sikap, cara berfikir dan cara bekerja.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah penulis yang sudah berniaga hampir di seluruh negara terpaksa menyaman anak syarikat kerajaan negeri Perak kerana ingkar dan khianat dengan urusan tanah pajakan yang diluluskan. Kes akan berlangsung di mahkamah pada November nanti.

Apapun kenangan berniaga dan tinggal di Melaka adalah menjadi impian penulis supaya rezeki itu datang lagi. Penulis bukan hanya selesa dengan pemimpinnya, malah masyarakat dan kemodenan negeri sebagai negeri maju di Malaysia.

Negeri kecil tetapi rakyat dan pemimpinnya berjiwa besar. Itulah pengajarannya. Itulah juga ukuran antara negeri maju dan negeri mundur. Kecil tidak semestinya lemah. Besar tidak semestinya kuat.

Pemandu peribadi yang berkhidmat lama serta setia dengan penulis sanggup berpindah bersama keluarganya ke Melaka.

Bagaimanapun, apabila penulis berpindah semula ke Perak pada tahun 2016, beliau yang sekampung dengan penulis di Kampung Gajah, Perak membuat keputusan untuk berhenti berkhidmat dengan penulis kerana memilih tinggal di Melaka. 

Antara alasan utama beliau ialah kerana Melaka adalah negeri yang jauh lebih selesa untuk didiami berbanding Perak hingga ke akhir hayat, agaknya. Hanya Allah yang tahu.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Stoking kalimah Allah: Ambil tindakan tegas – Tunku Ismail

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim hari ini menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking...

Lagi Artikel Berkaitan