25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tahap pengurusan krisis kita masih lemah

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PADA tahun 2002, penulis mengikuti pengajian peringkat sarjana yang mewajibkan satu modul penting iaitu Pengurusan Krisis (Crisis Management). 

Memang menarik modul tersebut apabila kami dikehendaki mengkaji bagaimana mengendalikan krisis dalam perniagaan memandangkan jurusan kami ialah Pengurusan Perniagaan (MBA). 

Penulis masih ingat bagaimana tugasan aerkumpulan kami memfokuskan kepada krisis kemalangan melibatkan sebuah jenama pengeluar tayar terkemuka dunia yang berhadapan dengan konflik bersama sebuah pengeluar kereta termasyhur di dunia.

Tayar syarikat berkenaan menjadi faktor kepada banyak kemalangan yang digunakan oleh kereta-kereta syarikat berkenaan.

Antara rumusan yang dipelajari ialah bagaimana menguruskan maklumat, menubuhkan pasukan petugas pengurusan krisis dan sistem komunikasi berkesan untuk meyakinkan pengguna dan masyarakat umum.

Apabila berlaku pelbagai bencana dan krisis bertaraf dunia sekarang, maka penulis mengingat kembali detik-detik di dalam bilik kuliah tersebut yang kebanyakan pelajarnya adalah golongan usahawan.

Memori belajar pengurusan krisis itu muncul setelah melihat sendiri kekalutan yang timbul dalam beberapa siri insiden yang boleh dianggap krisis besar dalam negara iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kemalangan tren LRT dan pencerobohan ruang udara oleh pesawat tentera China dan Israel.

Jika dahulu, penulis hanya berfikiran untuk lulus tugasan sahaja tetapi hari ini, ilmu dan pengalaman tersebut dirasakan sangat bermakna. 

Sedikit sebanyak pengalaman menyertai Pasukan Simpanan Tentera Darat ketika di alam pengajian tinggi dulu, banyak juga memberi pengajaran besar tentang cara menguruskan krisis/bencana dengan berkesan terutama ketika menghadapi medan peperangan.

Sama ada kita sedar atau tidak, wabak Covid-19 adalah antara bencana yang dianggap krisis dunia yang menjadi medan dan ujian buat kita. 

Namun, kelemahan yang sangat ketara dalam pengurusan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown 3.0 yang bermula pada 1 Jun baru-baru ini mencetuskan keraguan yang tinggi di kalangan rakyat terhadap cara kita menguruskan sesuatu krisis dan bencana.

Seperti kami diajar 20 tahun lalu, pengurusan krisis mempunyai 3 tahap penting iaitu peringkat pra-krisis, semasa krisis dan selepas krisis.

Antara elemen penting dalam tempoh tersebut ialah keupayaan meramalkan kebangkalian krisis (meminimumkan), maklumat berkaitan krisis, pengurusan pasukan petugas, komunikasi yang cekap dan berkesan serta penyediaan pelan pemulihan dan penambahbaikan masa depan.

Dalam konteks PKP 3.0, begitu jelas berlakunya apa yang diistilahkan “di atas berserabut, di bawah kelam kabut”.

Tiadanya keseragaman dalam kelulusan kebenaran beroperasi terhadap 17 sektor ekonomi terutama melibatkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sahaja sudah cukup untuk meributkan suasana.

Advertisements

Maka pelaksanaan di peringkat bawah menjadi haru-biru yang mencetuskan kemarahan rakyat. Contohnya, dalam kes pertanian dan perladangan yang menjadi sektor perlu (essential), proses permohonan telah mengambil masa sehingga tiga hari untuk diluluskan kerana pada mulanya pihak jabatan berkaitan tidak pasti keutamaan kluster pertanian yang boleh dibenarkan beroperasi. 

Puncanya kerana tiada Jawatankuasa Pelaksana PKP di peringkat daerah yang membolehkan semua jentera digerakkan dan diselaraskan, termasuk institusi penghulu, ketua kampung dan lain-lain.

Ketiadaan data terkini petani dan pekebun di kawasan dan daerah masing-masing juga menyukarkan proses kelulusan. Setelah pelbagai tekanan dibuat, maka kelulusan diberikan pada saat akhir dengan keadaan yang kelam kabut. 

Sistem pengurusan permohonan juga begitu lemah sehingga surat kebenaran hanya bertulis dengan tulisan tangan yang turut dipertikaikan ketika pemeriksaan polis dalam sekatan jalanraya. 

Kakitangan penulis sendiri berpengalaman untuk gagal mendapatkan email jabatan tertentu kerana pegawai mengarahkan supaya pemohonan dibuat dengan mengisi borang di pejabat jabatan berkenaan.

Maka berpusu-pusulah petani dan pekebun ke pejabat berkenaan. Ini bercanggah dengan larangan berkumpul bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Lihatlah reaksi rakyat terutama golongan usahawan. Berbakul-bakul maki hamun, ejekan yang menghilangkan rasa hormat dan yakin rakyat kepada kerajaan. Peliknya, kita sudah melalui fasa ketiga PKP ini. Tidakkah kita sudah berpengalaman?

Negara juga gegak-gempita dengan sikap tidak profesional Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad ketika mengendalikan sidang media kemalangan LRT beberapa minggu lalu.

Dalam keadaan malapetaka kemalangan itu, beliau yang menjadi jurucakap krisis kemalangan itu tidak sepatutnya bersikap sambal lewa atau cuba berlawak di saat mangsa kemalangan mengalami pelbagai kecederaan dan trauma. Maka langkah memecat beliau sememangnya tepat dan pastinya disokong oleh banyak pihak.

Ketika kita sedang bergelut dengan PKP, dua kali ruang udara kita diceroboh oleh pesawat luar iaitu Israel dan China. Sekali lagi tahap kesiap siagaan kita diuji. Bab keselamatan ini sukar untuk kita ketahui tetapi pengalaman sedikit dalam ATM dulu banyak mengajar tentang pengurusan krisis seumpama ini.

Penulis yakin, kita akan berhadapan dengan masa depan yang sangat mencabar. Dengan pelbagai krisis yang bakal menguji kesiap siagaan kita. Kegagalan kita menguruskan krisis dan bencana dengan baik, sudah pasti akan mengundang musibah lebih besar.

Harus diingat, kegagalan kita menguruskan krisis dengan baik pastinya akan menghakis keyakinan kita di mata masyarakat khususnya pelabur asing di negara kita.

Apakah kita mahu menjadi negara yang terus terjerumus dengan pepatah Melayu, “ibarat jatuh ditimpa tangga” ?

•  Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan aktivis ekonomi sosial.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan