33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Gelombang impak Covid-19 semakin mencabar

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

AKHIRNYA kerajaan Perikanan Nasional (PN) terpaksa membuat keputusan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula pada 1 Jun ini.

Banyak pihak yang berkeras mahu PKP penuh (full lockdown) ini dilakukan kerana menyedari keberkesanannya yang telah terbukti pada PKP pertama tahun lalu untuk menghapuskan rantaian virus.

Daripada titah sultan sehinggalah rakyat biasa, suara menuntut PKP penuh ini akhirnya berjaya meyakinkan Majlis Keselamatan Negara untuk membuat keputusan berani menguatkuasakan PKP penuh.

Malah penulis sendiri telah menerima mesej-mesej berbentuk kempen di kalangan pemimpin NGO agar menyokong desakan PKP penuh seluruh negara ini.

Covid-19 adalah bencana dunia yang belum pasti bilakah pengakhirannya. Statistik kes Covid-19 pada 29 Mei 2021 menunjukkan bahawa terdapat 170,591,011 dilaporkan seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,547,313 orang telah meninggal dunia akibat wabak itu. Manakala seramai 152,569,305 orang telah berjaya dipulihkan.

Dalam konteks Malaysia, Global Coronavirus 19 Index (GCI) yang diinisiatifkan oleh PEMANDU Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan 106 daripada 180 negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Satu angka yang agak memperlihatkan kelemahan kita.

Kita wajib menerima hakikat bahawa landai kes Covid 19 di Malaysia mula menunjukkan peningkatan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah. Orang politik pastinya akan menafikannya sebagai alasan mempolitikkan dosa mereka.

Namun itulah hakikatnya dan kita sewajarnya meneruskan kehidupan dengan cabaran menangani wabak ini.

Seperti yang pernah saya katakan dulu dalam kolum ini bahawa tiga perkara yang perlu dijaga akibat Covid-19 terutama apabila kerajaan membuat keputusan PKP penuh iaitu keselamatan Kesihatan, Keselamatan Makanan dan Keselamatan Kebolehpekerjaan.

Saya meramalkan impak kali ini memberi kesan yang lebih besar kerana segala sumber yang boleh mempertahankan kesiapsiagaan semua pihak sama ada kerajaan mahupun rakyat sudah semakin merosot dan terhad.

Impak Covid ini bukan sahaja memerlukan kita bersedia dari segi mental tetapi juga aspek-aspek fizikal terutama kewangan.

Kita boleh bercakap secara teorinya tentang motivasi untuk berhadapan dengan Covid-19 tetapi hakikatnya apakah persediaan dan persekitaran kita benar-benar cukup untuk menghadapi dugaaan yang belum tentu penghujungnya?

Selagi wujudnya Covid-19, selagi itulah kita akan terus berada dalam keadaan dilema sama ada mahu mengekang wabak atau meneruskan kegiatan hidup seperti ekonomi seperti biasa.

Rumitnya juga Malaysia ini ialah kedudukan politik yang tidak begitu stabil yang akan menambahkan lagi keadaan yang teruk. Lihat sahaja dalam membuat keputusan lockdown sekarang.

Kerajaan pusat seolah-olah teragak-agak untuk bertindak awal. Malah bersilat pulak dengan menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan. Apakah mereka takut persepsi rakyat terhadap tahap kepimpinan mereka?

Bagi penulis, impak PKP penuh kali ini akan memberi kesan yang lebih buruk kerana sebelum ini rakyat lebih bersedia dan masih boleh bergembira kerana sumber-sumber kewangan yang masih banyak dan persekitaran hidup yang masih positif.

Kali ini, apakah ekonomi rakyat dan negara masih kukuh berbanding PKP 1.0? Saya yakin suasana sudah semakin berbeza. Sebagai contoh, ketika penulis membantu menjayakan lonjakan jualan IKS ketika musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini, trend jualan sangat perlahan. Malah sesetengahnya sampai ke tahap hampir tiada jualan.

Dalam konteks institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula, tahun lalu sahaja sebanyak 68 IPTS gulung tikar dan dijangka akan bertambah pada tahun ini.

Begitu juga dengan pusat latihan kemahiran swasta di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia yang difahamkan hanya bertahan bagai nyawa ikan dalam jumlah 100 buah sahaja, walaupun pada tahun lalu, JPK mencatatkan jumlah pusat bertauliah lebih kurang 500 buah semuanya.

Banyak lagi yang boleh penulis contohkan secara realiti kerana penulis berada dalam sektor berkenaan serta banyak lagi sektor lain seperti pertanian dan perladangan.

Oleh itu, kesedaran dan tahap kesiap siagaan kita menghadapi impak yang lebih buruk terhadap kesan PKP penuh ini perlu dilipatgandakan. Ini bukan perkara main-main!.

Suara keresahan di bawah sebenarnya sudah terjelma melalui saluran media sosial yang menggantikan Parlimen yang sudah digantung akibat pengisytiharan darurat.


Seperti penulis katakan kepada kebanyakan pegawai tinggi kerajaan bahawa sudah tiba masanya kita merombak segera hala tuju negara kerana kesan mendadak Covid ini memberi impak yang besar kepada negara.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, agama dan kaum. Bukan mudah untuk mengimbanginya. Ibarat telur di hujung tanduk! Justeru, satu pelan komprehensif jangka pendek dan jangka panjang perlu diwujudkan supaya kita tidak lemas dengan dahsyat di saat akhir.

Hari ini, semua tindakan kelihatan ad-hoc sedangkan ada pendapat yang mengatakan bahawa setiap satu bulan lockdown, impak ekonomi sahaja akan mengambil masa 6 bulan untuk pemulihan.

Bayangkan kita sudah lebih setahun menghadapinya dengan keadaan wabak yang semakin meruncing. Silap gaya, mungkin kita terpaksa mengambil masa 10 tahun untuk pulih seperti sediakala. Ini ditambah dengan pandangan pakar-pakar dunia yang mengatakan bahawa Covid-19 dunia hanya akan reda pada tahun 2023.

Kita perlu berada dalam mode ‘hidup bersama covid’ (living with covid). Maka gerak kerja kita perlu berteraskan ‘Operasi Kalis Covid’ atau Covid Proof Operation (CPO). Jenteru perlu cekap walaupun bekerja dari rumah kerana PKP penuh bukan bermaksud Bercuti Di Rumah.

Namun, itulah kehidupan masa depan yang Allah tentukan untuk kita memasuki fasa manusia zaman baru, iaitu kehidupan seletas Covid-19. Marilah kita berdoa supaya kita tidak akan ditimpa musibah yang berganda atas bencana Covid-19 ini.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan