29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KKM kaji penggunaan Ivermectin terhadap pesakit Covid-19

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji penggunaan Ivermectin, sejenis ubat anti-parasit yang biasanya digunakan terhadap haiwan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 2 dan 3.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk permulaan KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan ujian klinikal (Randomised Control Trial) di 12 hospital kementerian itu.

Menurut beliau, ia bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin berbanding rawatan standard yang diberikan kepada 500 pesakit COVID-19 kategori 2 dan 3 yang berisiko tinggi dan berumur 50 tahun ke atas.

“Ia bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit COVID-19 ini daripada menjadi lebih serius (kategori 4 dan 5) dan mengurangkan kematian.

“Kajian ini telah diberi kelulusan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika (Medical Research and Ethics Committee – MREC), KKM pada 25 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian tersebut telah bermula sejak 31 Mei lalu dan sehingga kini lapan pesakit telah didaftarkan terlibat dalam kajian tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini ramai yang mencadangkan penggunaan Ivermectin, iaitu ubat anti-parasit yang diluluskan oleh FDA yang juga digunakan untuk merawat beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Advertisements

Kata beliau, penggunaan off-label Ivermectin untuk COVID-19 mula mendapat perhatian global kerana terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang menunjukkan keputusan yang baik.

“Namun, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk COVID-19 di mana FDA sendiri tidak meluluskan penggunaan Ivermectin dalam merawat atau mencegah COVID-19 pada manusia.

“Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19 bertarikh 3 Mei 2021,” katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan.

Begitu juga, European Medicines Agency (EMA) telah mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19.

Ia susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut dalam merawat atau mencegah COVID-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials pada 22 Mac 2021. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan