30.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Sistem eDKK dinaik taraf menjadi sistem bersepadu ANAK – Nancy

Mesti Baca

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses menaik taraf Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) kepada Sistem Perkhidmatan Kanak-kanak (Sistem ANAK) yang bersepadu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Sistem ANAK itu dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan sosial kanak-kanak.

Beliau berkata, sistem tersebut akan menyimpan rekod kanak-kanak yang terlibat dengan penderaan dan pengabaian, pesalah terhadap kanak-kanak dan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

“Melalui sistem ini juga, JKM akan dapat membuat semakan dan pemantauan bagi meningkatkan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak serta mencegah jenayah terhadap kanak-kanak daripada berlaku dan berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: KASIH Kanak-kanak Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan, Seremban, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Exco Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Untuk rekod, sistem eDKK mempunyai ribuan nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak 2017 mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Advertisements

Sistem eDKK tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Mac 2019 lalu.

Sementara itu, Nancy berkata, kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak semakin meningkat dan mendapat liputan meluas di media massa, elektronik serta media sosial.

Katanya, berdasarkan statistik JKM, pada tahun 2023, sejumlah 7,520 orang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

“Pada tahun 2022, Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan iaitu daripada seramai 302 kepada 405 orang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada tahun 2023,” katanya.

Justeru beliau berkata, Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak itu adalah antara usaha berterusan kementerian dalam mengerakkan semua anggota masyarakat agar bersama melindungi dan membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak.

Katanya, program tersebut menjadi platform kepada masyarakat setempat khususnya guru-guru, PIBG dan komuniti setempat untuk berperanan dalam membantu kementerian mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan