28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Aidilfitri PKP, kegembiraan IKS dan pelakon ganti kesedihan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Alhamdulillah, 1 Syawal 1442 Hijrah telah diraikan dengan kesyukuran walaupun tahun kedua ini kita terpaksa melalui suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika meraikannya di Malaysia, kita turut disajikan dengan peristiwa perang jihad umat Islam Palestin menentang rejim Zionis di Baitulmaqdis.

Sungguhpun terasa juga kesedihan akibat perintah ketat mengikut SOP dalam sambutan hari raya kali ini, kita terpaksa redha dengan ketentuan Ilahi.

Apabila kita benar-benar memahami dan menghayati hikmah-Nya, maka kita akan tenang dan damai dalam menghadapi keadaan ini.

Penulis sendiri terpaksa menerima hakikat tidak dapat beraya bersama anak-anak seramai lima orang kerana masing-masing berjauhan bekerja dan belajar terutama anak sulung di Australia.

Nasib baik masih ada anak bongsu yang dibenarkan bercuti oleh pihak universiti dan adik ipar yang uzur untuk memeriahkan suasana hari raya.

Teknologi komunikasi membolehkan penulis berinteraksi dengan anak-anak melayani keletah mereka di hari raya. Jauh fizikal tetapi dekat di mata dan di hati kerana komunikasi kami adalah secara langsung menggunakan panggilan video bersama.

Bukan tidak terbayang juga suasana berhari raya dengan kaum keluarga di rumah arwah mak dan abah yang hanya sempadan daerahnya adalah sebelah sahaja dengah daerah rumah penulis masa kini. Teringin nak mencuri-curi ke rumah jiran tetapi perasan juga polis berkeliaran.

Akhirnya, penulis sekeluarga memilih untuk duduk di rumah sahaja.
Tanpa menafikan wujud juga perasaan duka tetapi keredhaan itulah yang melupakan kesedihan itu. Alah bisa tegal biasa.

Bagaimanapun, penulis ingin kongsikan bagaimana dua perkara yang sangat terkesan dengan penulis, menjelang hari raya kali ini iaitu kisah penulis membantu melonjakkan jualan dan promosi IKS serta kegembiraan para pelakon drama pendek komedi arahan penulis sempena raya kali ini yang disiarkan menerusi saluran Youtube (Ordar Marketing).

Menyentuh kegembiraan usahawan IKS, keadaan ini berlaku setelah penulis berjaya meningkatkan kembali perniagaan usahawan yang terpilih melalui platform Ordar.my dan kaedah penceritaan Story Telling Advertising Strategy (STAR) yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

Kaedah ini telah berjaya melonjakkan jumlah jualan yang sangat luar biasa kepada IKS dan ajaibnya keadaan ini berlaku ketika musim PKP 1.0 yang sangat mencabar pada tahun lalu.

Penulis ketika mengarahkan drama komedi komersial pendek membabitkan adegan Atan dan Opah Yang.

Opah Yang dan anaknya Normi Ramli juga berjaya membesarkan premis perniagaan dengan keluasan dua kali ganda hasil kutipan perniagaan sepanjang program STAR tahun lalu.

Bukan itu sahaja, kaedah STAR turut mencetuskan gelombang dan peluang baru lain seperti penjenamaan yang semakin meningkat dan popular, serta muncul pula industri baru seperti pelancongan luar bandar dan IKS di Perak Tengah.

Ketika itulah penulis berjaya melahirkan watak popular Opah Yang yang kini sudah boleh menandingi populariti Mak Cun. Gelagat Opah Yang yang kini berusia 80 tahun tetapi masih aktif berniaga secara norma baharu sangat mencuit hati penonton.

Pada tahun ini, atas rayuan IKS, penulis akhirnya terpaksa meneruskan STAR tetapi dengan penambahbaikan pendekatan baru.

Watak Opah Yang bukan sahaja sudah kelihatan bertambah maju secara fizikal seperti premis perniagaan yang semakin besar tetapi juga mampu memiliki kereta besar (walaupun kereta lama yang sudah berusia) bagi melambangkan kejayaan perniagaan dodol Opah Yang yang berkembang sejak PKP Covid-19 (berdasarkan kisah benar). Kali ini juga, penulis mula menggunakan platform baru Ordar.my.

Walaupun tidak boleh beroperasi penuh kerana sistem online sebagai market place sedang dipertingkatkan, kaedah Cash On Delivery (COD) digunakan, di samping memperkenalkan konsep berkongsi kos pengurusan perniagaan bersama IKS bagi meringankan beban semua pihak.

Dalam kes dodol Opah Yang, jualan mereka hanyalah sekitar RM300 hingga RM400400 sahaja sehari di awal Ramadan tetapi apabila drama pendek Opah Yang menjadi viral seluruh negara hingga ke Selatan Thailand, jualan dodol Opah Yang naik 10 kali ganda kepada RM3,000 hingga RM5,000 sehari pada minggu ketiga dan keempat,

Menariknya juga ialah apabila tempahan menerusi platform seperti Shopee yang pada mulanya hampir tiada langsung tempahan, tiba-tiba naik mendadak setelah video viral Hello-Hello Opah berlaku.

Kejayaan program fasa 1 bulan syawal tahun ini, pasti menggembirakan usahawan seperti Opah Yang dan rakan-rakan yang lain. Selain Opah Yang, ramai lagi IKS lain yang turut menyertai program STAR seperti Idda’s Frozen di Gerik dan Nab Industry di Bagan Serai. Langkah ini membantu mempopularkan produk jenama mereka.

Selain menyediakan platform jualan usahawan IKS sendiri, penulis telah menerbitkan beberapa video komedi STAR termasuk edisi khas hari raya yang bertajuk Raye PKP Lagi. Watak kanak-kanak bernama Atan (lakonan Zairul Naim) dengan loghat pekat Perak Tengah, berjaya mencuit hati penonton di youtube.

Kesemua pelakon dalam drama-drama pendek ini bukanlah pelakon popular tetapi mereka adalah bakat yang dicungkil oleh penulis sendiri. Selain mengasah bakat mereka, usaha penulis melahirkan pelakon kisah masyarakat ini sebenarnya mengangkat mertabat mereka yang datangnya daripada keluarga yang sangat miskin.

Selain memberi imbuhan kepada mereka, penulis berjaya meyakinkan mereka untuk berusaha dan memajukan diri pada masa depan dengan bakat dan kemahiran yang ada.

Ada di kalangan mereka yang tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih atas peluang yang telah diberikan. Menarik juga apabila ada stesen TV swasta yang berminat untuk bekerjasama menghasilkan drama bersiri seumpama itu.

Mereka juga melihat bahawa komedi yang dihasilkan penulis boleh mempopularkan kegiatan ekonomi di daerah Perak Tengah.

Itulah erti kegembiraan di Aidilfitri kali ini iaitu bila kita melihat segala usaha kita memberi kebahagiaan kepada orang lain. Semua ini dilakukan dengan penuh jiwa, sabar dan ikhlas untuk bekerja.

Allah telah menjanjikan kepada kita bahawa setiap usaha yang penuh kepayahan akan menemui kejayaan pada satu masa nanti (Al-Insyirah).

Bagi penulis, Aidilfitri di PKP kali ini penuh makna yang mengajar kita erti diri sebagai makhluk Khaliq dan memanfaatkan diri kita terhadap sesama manusia.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.


Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan