24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Yayasan MyAQSA lancar tabung baiki Masjid Al-Aqsa

Mesti Baca


CYBERJAYA – Tindakan ganas dan zalim rejim Zionis melakukan beberapa siri serangan ke atas umat Islam Palestin yang sedang beribadah di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan lalu bukan sahaja mengakibatkan beratus-ratus umat Islam cedera malah ia juga menyebabkan bangunan dan kemudahan infstruktur masjid itu mengalami kerosakan.

Bagi mengurangkan beban yang ditanggung di samping keperluan untuk membaiki kerosakan, Yayasan MyAQSA melancarkan MYAQSA FUND atau TABUNG AQSAKU yang akan beroperasi secara terhad.

Pengerusi Yaysan MyAQSA, Suwardi Yaacob dalam satu kenyataan berkata, kutipan tabung itu bermula semalam dan akan berakhir pada 11 Jun depan.

‘’MyAQSA memberi jaminan bahawa dana yang dikumpulkan nanti akan disalurkan 100 peratus, tanpa dikenakan apa-apa caj dan tiada potongan bagi tujuan pentadbiran kepada pihak penerima secara terus dan telus.

‘’ Sekiranya dikenakan sebarang caj oleh pihak kewangan yang berkaitan dalam urusan pemindahan dana, maka pihak MyAQSA bersedia untuk menanggungnya.

”Para penyumbang juga akan diberikan butiran terperinci mengenai perjalanan sumbangan mereka sehingga sampai kepada pihak yang menerima manfaatnya nanti,’’ katanya.

Yayasan MyAQSA adalah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk mendepani dan memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan Masjidil Aqsa secara khusus dan Palestin secara umumnya.

Advertisements

MyAQSA lebih fokus kepada usaha membantu perjuangan rakyat Palestin melalui kaedah perundangan antarabangsa di samping memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia

Suwardi berkata, sebelum ini MyAQSA tidak pernah melancarkan apa- apa tabung untuk mengutip dana kerana tidak sanggup untuk memikul bebanan amanah yang berat terhadap wang sumbangan orang ramai.

‘’Tetapi kali ini atas desakan dan permintaan ramai, MyAQSA akhirnya bersetuju untuk menyediakan satu platform alternatif bagi menguruskan kutipan dana bagi disalurkan secara rasmi dan telus kepada pihak berwajib yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan Masjidil Aqsa dan penduduknya,’’ katanya.

Beliau berkata, secara jelasnya Masjidil Aqsa dan umat Islam di sekitarnya kini memerlukan bantuan dan pertolongan bagi meringankan bebanan yang ditanggung di samping keperluan untuk membaiki segala bentuk kerosakan yang berlaku.

‘’Alhamdulillah respon dan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia amat luar biasa dan membanggakan. Pelbagai pertubuhan dan invidividu masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang telah menyuarakan simpati mereka terhadap nasib Aqsa dan penduduknya di samping meluahkan perasaan amarah yang tidak terhingga terhadap sifat kebinatangan rejim Zionis Israel tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi menjayakan usaha ini, pihak MyAQSA akan menjalankan kerjasama dengan pihak Jabatan Wakaf Baitulmaqdis & Hal Ehwal Masjidil Aqsa, Majlis Tertinggi Islam Baitulmaqdis, Pihak Kedutaan Palestin di Malaysia, Palestinian National Fund (PNF) dan juga pihak Gabenor Kota Al-Quds.

Suwardi menjelaskan, orang ramai atau mana-mana pihak boleh menyalurkan sumbangan menerusi saluran Payment Gateway Billplz atau menerusi Cheque/Deposit Tunai/Online Transfer kepada akaun Yayasan MyAQSA (CIMB: 8603464258) dengan rujukan – “MyAQSA Fund” @ “Tabung ASQSAKU”.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan