26.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 14, 2024

Seminar TOT MPOB 2021 berlangsung secara maya

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

BANGI – Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2021 bakal berlangsung secara maya pada 1 Julai ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, acara tahunan itu bertujuan memperkenalkan teknologi baharu dalam industri sawit untuk pengkomersialan.

Beliau mempelawa semua pihak meliputi penggiat industri sawit, usahawan tempatan, penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mereka yang berminat dengan peluang pengkomersialan teknologi dalam industri sawit untuk menyertai Seminar TOT 2021.

“Oleh itu, saya berharap pihak yang berminat untuk mengkomersialkan teknologi secara bersama MPOB dan menerima khidmat teknikal serta perundingan MPOB bagi pembangunan teknologi dalam industri sawit dijemput untuk menyertai Seminar TOT 2021 yang akan diadakan pada 1 Julai 2021,” katanya ketika berucap merasmikan prapelancaran seminar berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin menambah, sejajar dengan amalan norma baharu, penganjuran Seminar TOT 2021 akan diadakan secara maya atau webinar bagi membendung penularan COVID-19 dan menyedia peluang kepada semua pihak mendapatkan maklumat secara atas talian.

“Memandangkan kita kini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan usaha pemulihan ekonomi negara termasuk industri sawit dapat dijayakan sepenuhnya,” jelasnya.

Pada majlis sama, MPOB mengadakan pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MOA) pemindahan teknologi dengan beberapa buah syarikat tempatan.

Beliau memberitahu, MOA itu melibatkan pengkomersialan teknologi oleokimia dan formulasi baja, mekanisasi ladang bagi pembangunan jentera untuk kerja-kerja penyelenggaraan ladang dan pengutip buah relai.

Advertisements

“Saya ingin memaklumkan bahawa kementerian memberi tumpuan khusus pembangunan jentera di sektor huluan ladang terutama bagi kerja-kerja penuaian buah sawit dan pengangkutan di ladang.

“Penggunaan jentera perladangan terbukti dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi ladang serta strategi ke arah mengurangkan kerbergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing dalam industri sawit.

“Selain itu, penggunaan mekanisasi secara meluas di sektor perladangan diharap juga akan menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit yang dikaitkan dengan persekitaran kerja yang kurang menarik berbanding sektor lain,” ujarnya.

Mohd Khairuddin berkata, MPOB juga telah memeterai perjanjian pengkomersialan teknologi bagi pengeluaran produk poliol berasaskan sawit bagi kegunaan sektor industri.

Menurut beliau, penghasilan produk poliol yang menggunakan bahan sawit adalah berkualiti tinggi dan mesra alam.

“Di samping itu, MPOB turut bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi pengeluaran formulasi baja khusus untuk tanaman sawit.

“Formulasi baja yang mengandungi sumber nutrien dan mineral semula jadi dijangka akan meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh pokok-pokok sawit.

“Penggunaan baja secara sistematik akan dapat meningkatkan produktiviti buah tandan segar sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Agrobank tawar RM300 juta perkasa perniagaan berasaskan digital

AGROBANK menawarkan pembiayaan berjumlah RM300 juta kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) melalui Program Digital Niaga dengan kerjasama...

Lagi Artikel Berkaitan