25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Majlis Peguam tafsir undang-undang ikut selera sendiri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan dukacita pada saat-saat semua jentera kerajaan menumpukan segala usaha termasuk kewangan untuk memerangi COVID-19, terdapat sesetengah pihak termasuk Majlis Peguam yang cuba membuat tafsiran tentang undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan mengharapkan langkah Darurat yang semata-mata menumpukan kepada aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial ini difahami sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat demi kebaikan individu, masyarakat, komuniti dan negara keseluruhannya.

“Sebagai Menteri Undang-Undang, saya turut menyeru Majlis Peguam serta semua pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang-undang yang termaktub, termasuk memberikan kefahaman serta pencerahan tentang undang-undang kepada masyarakat.

“Sebagai badan profesional bidang undang-undang, saya yakin Majlis Peguam tetap mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang terutamanya ketika negara sedang berada dalam kadaan kritikal dan getir dengan penularan berterusan wabak COVID-19 ini.

“Perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 sahaja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 16 April lalu, Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkata, pelaksanaan Ordinan Darurat telah menyebabkan berlaku ketidakseimbangan kuasa dan akauntabiliti dari segi penggunaannya.

Advertisements

Badan itu juga mendakwa beberapa peruntukan dalam Ordinan Darurat adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sekali gus menjadikannya tidak sah.

Takiyuddin turut mengingatkan bahawa pada masa ini, negara berada dalam suasana Darurat dari segi undang-undang apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan.

“Maka berdasarkan peruntukan Perkara 150(1), Seri Paduka telah mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021, berkuat kuasa hingga 1 Ogos 2021, selama sekitar 6 bulan 20 hari,” jelasnya.

Beliau menambah, darurat besar tersebut adalah ekoran penularan pandemik COVID-19 sejak setahun lebih yang lalu.

“Langkah ini jelas merupakan usaha yang serius dan berfokus kerajaan dalam rangka memperkasakan usaha-usaha membasmi wabak penyakit berjangkit COVID-19 ini termasuklah menggubal dengan segera ordinan-ordinan yang perlu semasa tempoh darurat,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan