31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Iran mahu import 1 juta tan minyak sawit Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Iran menunjukkan komitmen tinggi dengan kesediaan negara itu untuk mengimport sehingga sejuta tan minyak sawit Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, potensi eksport ke Iran adalah amat baik dan kementeriannya melalui agensi berkaitan sedang merangka strategi bagi memenuhi permintaan tersebut.

“Malaysia juga akan menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara Asia Barat yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi di pejabatnya di Putrajaya.

Turut mengiringi Ali Asghar ialah Setiausaha Kedua (Seksyen Ekonomi), Javad Bakhshi.

Pertemuan sulung antara Mohd Khairuddin dan Ali Asghar itu bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran.

Kunjungan hormat itu adalah susulan pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran, Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai 2021 lalu.

Mohd Khairuddin menambah, kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak di Iran yang kini mencapai sebanyak 2.2 juta tan setiap tahun.

Beliau memberitahu, Ali Asghari memaklumkan hasrat Iran untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

“Pada tahun 2020, eksport minyak sawit Malaysia dianggarkan berjumlah 320,000 tan. Sehingga Mei 2021 sahaja, sebanyak 238,683 tan minyak sawit dieksport ke negara itu dengan nilai lebih RM970 juta,” jelasnya.

Dalam kunjungan tersebut, Mohd Khairuddin turut berbincang dengan Ali Asghari tentang kerjasama kepakaran teknologi nano yang dimiliki Iran.

“Untuk makluman, Iran adalah negara keempat terbaik dunia dalam menghasilkan teknologi nano dan TYT Duta Iran mengajak Malaysia mengambil manfaat itu khususnya dalam kajian berkaitan sawit dan getah.

“Selain itu, beliau menekankan kepentingan industri keselamatan makanan dan Iran amat menghormati industri halal Malaysia sebagai yang terbaik di dunia.

“Untuk itu, Iran sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal,” katanya.

Mohd Khairuddin juga berhasrat untuk melakukan lawatan rasmi ke negara berkenaan dalam masa terdekat bagi merealisasikan usaha kerajaan bagi meningkatkan pendapatan negara dengan kerajaan Iran. – EDISI 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan