28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MPOC tawar khidmat nasihat kepada BRB dari Turki

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

ISTANBUL – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kelmarin dengan BRB Holding (BRB), sebuah syarikat Turki bertaraf multinasional yang terlibat dengan pelbagai projek antarabangsa di lebih 100 buah negara merangkumi bidang penternakan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, melalui memorandum persefahaman ini, BRB yang ditubuhkan pada tahun 1994 akan mendapatkan khidmat nasihat MPOC dari sudut bekalan dan pasaran makanan haiwan berasaskan sawit iaitu dedak isirung sawit (PKC) di Turki dan pasaran Eropah terpilih.

“Dalam hal ini, kedua-dua pihak akan memperincikan kerjasama dari sudut teknikal dan bekalan sepertimana dipersetujui.

“Selain itu, MPOC juga akan membantu BRB dalam mendapatkan maklumat dan penerangan mengenai faedah teknoekonomi makanan haiwan berasaskan sawit melalui penganjuran seminar serta kesedaran mengenai kelebihan produk PKC kepada sektor ruminan Turki,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di mana MPOC diwakili Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Pasarannya, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala BRB oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Harun Macit.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Mad Zaidi Mohd Karli.

Mohd Khairuddin menambah, PKC mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos.

Beliau memberitahu, berdasarkan kajian, penyediaan makanan haiwan dengan menggunakan PKC adalah lebih kompetitif berbanding rumusan konvensional. Kelebihan dari sudut penjimatan kos dijangka akan melonjakkan industri ini.

“Dari Januari hingga Mei 2021, eksport PKC ialah sebanyak 730,000 tan dengan nilai sebanyak RM468,000. Berdasarkan kajian, purata eksport PKC adalah dianggarkan 2.4 juta tan setahun.

“Namun, pada tahun 2020, Malaysia telah mengeksport sebanyak 2.6 juta tan. Manakala, pasaran tempatan memerlukan bekalan sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran PKC negara,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, KPPK berharap agar usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MPOC dengan kerjasama agensi berkaitan dapat membantu perkembangan industri PKC negara dan seterusnya melonjakkan industri tersebut. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan