27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Najib kata kawal harga ayam tidak selesai masalah pokok

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Tindakan kerajaan melaksanakan kawalan harga ke atas ayam secara serta-merta tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan keperluan itu.

Sebaliknya, menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan perlu turut menyelesaikan masalah asas iaitu harga dedak dan kos bahan api.

Menurut beliau, ini kerana jika masalah asas tersebut tidak dapat diselesaikan, para penternak akan menanggung kos lebih tinggi sekali gus mendatangkan kerugian di pihak penternak.

“Siapa yang nak ternak jika kos pengeluaran jauh lebih tinggi berbanding kos jualan? Menanggung rugi dengan setiap ekor ayam yang diternak.

“Ini persoalan paling asas. Sesiapa yang faham ekonomi akan sedar perkara ini,” katanya menerusi Facebooknya.

Beberapa hari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) untuk 12 jenis barangan.

Ini termasuk harga ayam kampung, ayam standard dan ayam super bermula 21 April sehingga 21 Mei sempena perayaan Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam pada 13 Mei.

Sebelum ini FMT melaporkan keluhan penternak berhubung kenaikan harga jagung, kacang soya dan minyak sawit mentah yang merupakan bahan-bahan untuk membuat dedak, makanan utama ayam.

Kenaikan harga barangan tersebut dikatakan menjadi punca utama kenaikan harga ayam, dan bukannya disebabkan faktor sambutan perayaan.

Menurut penternak itu, sejak kebelakangan ini harga jagung yang diimport naik 41.5 peratus manakala kacang soya pula 57.6 peratus dan minyak sawit mentah 43.3 peratus.

Najib berkata, jika isu kenaikan bahan asas tersebut tidak dapat diselesaikan bermakna pengeluaran ayam dan bekalan stok akan berkurang.

“Akibatnya, harga ayam akan kekal tinggi selepas arahan kawalan harga musim raya berakhir atau Malaysia mungkin menghadapi kekurangan bekalan ayam dan telur pada bulan-bulan mendatang,” kata Najib. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan