24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Cabaran mengisi MKMF Pulau Tiga dan gangguan ‘kaki cucuk’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SELEPAS perasmian My Kampung My Future (MKMF) pada 25 April 2013, maka bermulalah gerak kerja pengisian pembangunan MKMF Mukim Pulau Tiga.

Penulis berpandangan ketika itu, dua elemen penting untuk mempercepatkan proses pembangunan ialah penglibatan penduduk setempat terutama golongan muda dan promosi gerak kerja melalui hebahan aktiviti berkaitan.

Setiap kali perbincangan diadakan oleh kerajaan, penulis akan dijemput untuk menjadi fasilitator kepada semua pihak. Mesyuarat biasanya akan diadakan di Pejabat Tanah dan Daerah Kampung Gajah atau di Putrajaya sendiri.

Memandangkan penulis sudah mengenal pasti dan mencadangkan beberapa peserta yang berpotensi, maka usaha mencari peserta bukanlah susah. Namun adat manusia, akan ada yang tidak berpuas hati atas sebab-sebab peribadi.

Kaki cucuk kedai kopi (penyakit keturunan) tidak kurang juga telah menjadi ancaman kerana menyebarkan dakyah untuk menghasut penduduk kampung.

Tidak ketinggalan juga adalah sesetengah pihak lain sama ada di peringkat kepimpinan tempatan, mahupun agensi sendiri yang berasa agak tercabar dengan kehadiran program MKMF.

Walau bagaimanapun, penulis mempunyai seorang tokoh yang dijadikan teman berunding iaitu Penghulu Saedon Baharu, Penghulu Mukim Pulau Tiga ketika itu yang bijak mengimbangi karenah masyarakat kampung dan melihat kepentingan MKMF untuk mukim Pulau Tiga.

Selepas setahun proses pemilihan MKMF Pulau Tiga, kebetulan ramai usahawan yang berjaya menerima pelbagai anugerah.

Antaranya ialah Azri Zahier Azmi yang memenangi Anugerah Rural Business Challenge (RBC), Fauzi Salleh (Inovasi) dan ramai lagi. Ini menjadikan MKMF sebagai pencetus revolusi baru yang mendapat liputan media.

Deretan kenderaan pembesar dan agensi yang sering memasuki kampung yang kadang-kadang menggusarkan sesetengah pihak.

Deretan kenderaan pembesar dan agensi yang sering memasuki kampung yang kadang-kadang menggusarkan sesetengah pihak.

Apabila deretan konvoi pegawai kerajaan masuk ke kampung-kampung, suasana bukan sahaja menjadi meriah tetapi juga menimbulkan keresahan sesetengah pihak.

Kaki cucuk di sekeliling orang politik mula menjadikan penulis sebagai sasaran. Maka wujud pula konflik antara penulis dengan orang politik yang kebetulan menjadi pemimpin kementerian berkaitan.

Berlakulah usaha menyingkirkan usaha penulis selama ini yang dianggap sebagai ancaman pengaruh politik kepada sesetengah pihak.

Kesannya, penulis yang dianggap anak emas kepada MOA sebelum itu, tiba-tiba semakin dipinggirkan oleh kementerian berkenaan kerana dilema yang dihadapi pegawai-pegawanya.

Advertisements

Akibatnya, penulis terpaksa penerima pelbagai padah termasuk hilang perlantikan dalam beberapa badan penting MOA ketika itu.

Masih segar dalam ingatan, ketika rombongan kerajaan negeri Perak yang diketuai oleh Dato’ Saarani Mohamad, Exco Pertanian dan Luar Bandar Perak ketika itu, pada Oktober 2013 pelantikan penulis sebagai Ahli Majlis Penasihat Agroprenuer Muda, MOA telah dibatalkan pada saat akhir.

Penulis sempat menunjukkan mesej Timbalan Ketua Setiausaha MOA ketika itu tentang pembatalan saat akhir kepada Saarani. Penulis dinasihati Saarani supaya bersabar kerana beliau mempunyai pengalaman luas dengan sikap musuh sedemikian.

Penglibatan penulis dalam MKMF Pulau Tiga dipastikan tidak lagi melibatkan penulis dan IGROW milik penulis.

Pernah berlaku satu insiden bagaimana seorang Pengarah yang menjemput penulis untuk mesyuarat sambutan Hari Kemerdekaan MKMF Mukim Pulau Tiga pada tahun 2016, tiba-tiba mendapat satu panggilan seseorang yang meminta supaya jangan libatkan penulis dalam program berkenaan.

Akhirnya Pengarah berkenaan terpaksa menjauhkan diri.

Namun, penulis meneruskan semangat MKMF melalui pendekatan berbeza terutama melalui program pendidikan yang menjadi elemen penting MKMF. Dari sekolah rendah, sampailah pengajian tinggi.

Pelbagai aktiviti dilakukan untuk memastikan kesinambungan MKMF yang lebih segar dan pro-aktif.

Cara gerak kerja sendiri penulis bukan sahaja berjaya menggamit kehadiran masyarakat dan pemimpin negara, bahkan tokoh negara asing seperti Australia, Thailand dan banyak lagi telah memijakkan kaki di bumi Pulau Tiga.

Dengan sambutan ulangtahun setiap tahun (kecuali tahun 2018 dan 2020), MKMF Pulau Tiga tetap hidup segar walaupun MOA (kini MAFI) tidak merancakkannya seperti hari ini.

Penulis percaya, pemimpin datang dan pergi. Pegawai kerajaan silih berganti tetapi kejayaan kampung kita adalah terletak di tangan anak kampung seperti penulis ini sendiri.

Persoalannya, selepas MKMF, apakah pembangunan bersejarah yang boleh dibanggakan untuk Pulau Tiga? Dari pemimpin sampailah anak-anak kampung sendiri boleh menilai diri sendiri. Jawapannya ialah tiada setakat ini.

Penulis telah mengharungi cabaran, pengorbanan dan risiko yang tercatat ini hanyalah sebesar zarah. Banyak lagi yang belum terungkap!

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.


Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan