26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

3 peniaga kena kompaun RM50,000 ditawar diskaun

Mesti Baca

KOTA BHARU – Tiga peniaga iaitu pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek yang dikenakan kompaun maksimum RM50,000 sebelum ini kini boleh menarik nafas lega.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan memaklumkan semua pemilik premis terbabit akan dipertimbangkan kadar kompaun seperti dalam garis panduan.

Menurut beliau, bagi kes-kes lain yang dikenakan kompaun bagi individu dan premis sebelum ini dinasihatkan supaya membuat rayuan kepada Jabatan Kesihatan Kelantan untuk mendapatkan pengurangan kompaun.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mengingatkan kepada semua masyarakat di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kita sama-sama menghentikan rantaian penularan wabab COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shafien turut memaklumkan bahawa PDRM Kelantan telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Kelantan semalam.

Beliau menambah, hasil perbincangan tersebut, PDRM Kelantan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta peraturan-peraturan di bawahnya.

“Manakala Kementerian Kesihatan mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun sebagaimana garis panduan tersebut,” jelasnya.

Isu kompaun maksimum RM50,000 yang dikenakan terhadap ketiga-ketiga peniaga berkenaan menjadi tular dalam media sosial.

Netizen mempersoalkan kewajaran mengenakan kadar kompaun setinggi itu terhadap peniaga kecil yang berhempas-pulas mencari rezeki dalam situasi yang sukar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat.

Difahamkan, ada peniaga yang pernah dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar SOP PKP sebelum ini namun netizen berpandangan, jumlah yang dikenakan itu agak keterlaluan.

Pandangan serupa turut dikongsikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah membentangkan secara terperinci tentang jumlah kompaun yang sepatutnya dikenakan mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

Ismail Sabri menambah, kompaun maksimum RM50,000 yang termaktub dalam Ordinan Darurat sebelum ini adalah untuk kesalahan yang dilakukan oleh syarikat.

“Walau bagaimanapun, ini bukan di bawah bidang kuasa kita, di bawah bidang kuasa pihak penguat kuasa iaitu pihak polis.

“Manakala rayuan pengurangan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

“Saya difahamkan Timbalan Menteri Kesihatan juga telah membuat kenyataan dalam media dan saya percaya Menteri Kesihatan juga akan membuat kenyataan dan perkara ini sedang diambil perkatian oleh Kementerian Kesihatan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan